Skuad kebangsaan meraih kemenangan pertama dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 apabila menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu diraih setelah Malaysia mempamerkan corak permainan menyerang yang agresif dan memberi tekanan tinggi kepada pihak lawan.
Tekanan demi tekanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Malaysia menjaringkan gol pendahuluan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-11 hasil serangan yang dilakukan oleh Arif Aiman.
Malaysia menggandakan kedudukan lima minit kemudian, apabila Faisal Halim berjaya merampas bola daripada pihak lawan sebelum menyudahkannya dengan rembatan kencang melepasi penjaga gol Turkmenistan.
Namun, Turkmenistan merapatkan jurang pada
minit ke-37 menerusi penyerang Altymurad Annadurdyev hasil kesilapan Shahrul Saad.
Malaysia kembali selesa di depan apabila La’vere Corbin Ong menjaringkan gol ketiga seminit sebelum separuh masa pertama berakhir.
Skuad kebangsaan turut mencipta deretan peluang di separuh masa kedua, terutamanya menerusi Faisal, Arif dan Syamer Kutty Abba.
Mohamadou Sumareh turut meraih peluang untuk menjaringkan gol namun dikasari pemain pertahanan Turkmenistan, Abdy Bashimov yang dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning pertama.
Malaysia menguasai separuh masa kedua tetapi bermain dengan tempo lebih perlahan dan lebih banyak bertahan, dengan keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Harimau Malaya sekali gus meraih tiga mata pertama dan akan bertemu Bahrain pada Sabtu, 11 Jun ini.
Statistik Malaysia
Penguasaan bola 52 peratus
Percubaan 15
Percubaan tepat 9
Sepakan penjuru 7
Faul 17
Kad kuning 2
Kad merah 0