Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Kami hanya merancang, pemain Malaysia yang beraksi cemerlang

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon enggan mengambil kredit sepenuhnya di atas kejayaan Malaysia meraih 3 mata pertama selepas menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam perlawanan pembukaan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

Sebaliknya, beliau memberikan pujian kepada para pemain kerana menjayakan perancangan barisan kejurulatihan pasukan.

“Saya sangat bangga dengan para pemain,” kata Pan-gon dalam sidang media selepas perlawanan.

“Tugas saya adalah untuk membantu mereka, memberikan panduan kepada mereka. Saya rasa dengan perancangan yang betul, pemain dapat melaksanakannya dengan 110 peratus.

“Kita menguasai, mendominasi perlawanan, pemain memberikan sepenuh tenaga, semangat…ia sangat bermakna.

“Kita boleh nampak semangat juang yang tinggi, membuatkan peminat Malaysia berasa bangga.”

Disebabkan itu, beliau enggan mengambil sebarang pujian sebaliknya memberikan pujian itu kepada para pemain.

“Barisan kejurulatihan melakukan tugas yang bagus, analisis yang tepat, perancangan yang tepat.

“Tetapi ini (kemenangan) bukan datang dari perancangan kami semata-mata, ia datang daripada para pemain.

“Walaupun ada perancangan rapi, tetapi kalau tidak ada semangat, tidak ada tenaga, tidak ada semangat juang, tidak bersatu padu, ia (keputusan) akan jadi berbeza.

“Tetapi apa yang saya nampak, pemain kita lapar, macam harimau.

“Saya tak boleh nak sebut setiap pemain, tetapi saya boleh nampak semangat yang ada pada pemain.”