Premier League Berita

Amirudin Shari: Liverpool akan jadi juara Premier League lagi

Amirudin Shari cukup bersemangat apabila bercakap tentang Liverpool.

Walaupun sibuk menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor dan berhadapan dengan pelbagai isu politik, beliau sentiasa mengikuti perkembangan pasukan kesayangannya dan menyokong dari jauh.

Selepas Liverpool menjadi juara Premier League buat kali pertama selepas 30 tahun, Amirudin yakin The Reds dapat mengulangi kejayaan itu pada musim depan.

“Setiap tahun saya akan cakap Liverpool akan jadi juara,” katanya kepada Sukanz.com.

“Tetapi musim baru tak pastilah, pertarungan yang sangat sengit tetapi dengan pasukan yang sangat kukuh saya rasa Klopp akan boleh bawa pasukan secara konsisten.”

Amirudin menganggap Liverpool tetap berdepan cabaran daripada Manchester City, namun turut berpandangan Manchester United dan Chelsea akan memberikan cabaran.

“Daripada kelab-kelab gergasi macam Man City dan juga Man United, saya lihat di akhir-akhir musim ini, Man United menunjukkan peningkatan prestasi yang baik tetapi mereka tidak konsisten di peringkat awal.

“Kalau tidak berhati-hati Liverpool akan ada cabaran yang lebih besar. Pasukan lain seperti Chelsea masih lagi boleh menjadi pesaing.

“Tetapi pasukan yang dibina oleh Klopp sangat konsisten dan stabil di semua posisi dan sebab itu saya yakin Liverpool boleh meneruskan kecemerlangan yang dicatat pada musim 2019/20.”