Premier League Berita

Gara-gara simpan Cristiano Ronaldo, Man United hanya catat seri

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan keputusannya untuk merehatkan Cristiano Ronaldo setelah sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Everton.

Ronaldo telah menjaringkan 5 gol sejak kembali ke Old Trafford, tetapi diletakkan di bangku simpanan bersama Paul Pogba dan Jadon Sancho.

Ronaldo hanya dimasukkan ketika United mendahului 1-0 hasil gol Anthony Martial, tetapi Everton menyamakan kedudukan yang dijaringkan oleh Andros Townsend.

Ketika ditanya mengenai Ronaldo, Solskjaer menegaskan bahawa dia tidak menyesal membuat keputusan tersebut.

“Kita membuat keputusan sepanjang musim yang panjang dan kita harus menguruskan beban pemain dan keputusannya, bagi saya, adalah keputusan yang tepat hari ini,” kata Solskjaer.

“Anthony Martial melakukannya dengan baik, menjaringkan gol yang baik, Cavani memerlukan beberapa minit, dia mendapat satu jam, sepatutnya dapat menjaringkan gol, kita kadang-kadang perlu membuat keputusan itu.”

United hanya memenangi dua dari enam perlawanan terakhir dan selepas perlawanan antarabangsa, mereka akan bertemu Leicester City, Tottenham Hotspur, Liverpool dan Manchester City dalam empat perlawanan liga seterusnya serta dua pertembungan Liga Juara-Juara dengan pasukan Itali, Atalanta.

“Setiap perlawanan adalah perlawanan besar di Man United jadi ini akan menjadi bulan penting,” tambah Solskjaer.

“Ini bulan yang penting, banyak perubahan telah terjadi di kelab pada bulan lalu, jadi kami harus fokus, pastikan kami menggunakan tempoh ini dengan baik. Mereka yang pergi bersama skuad kebangsaan kembali dengan bertenaga, fokus yang lebih jelas, pemikiran yang baik untuk bermain dengan baik.

“Mindset ketika ini adalah bagus dan pemain mahu tingkatkan prestasi. Hari ini kami menguasai permainan, kami tidak dapat memperoleh gol kedua kerana Everton, seperti yang kami tahu dari musim lalu, dapat menjaringkan gol secara tiba-tiba.”

Pemain tengah United, Bruno Fernandes tampil mengkritik penampilan separuh masa kedua pasukan dan mengatakan pemain perlu mula belajar daripada mengulangi kesilapan.

“Saya rasa kami bermain dengan sangat baik pada babak pertama, mencipta banyak peluang. Separuh masa kedua kami agak perlahan, sekali lagi kami melakukan kesilapan sama,” katanya kepada MUTV. “Kita perlu belajar dan waktunya adalah sekarang. Kita tidak boleh mengulanginya lagi.

“Kami mengulanginya berkali-kali. Kami tidak dapat mengurangkannya ketika kami hampir menang. Kami harus cepat menjaringkan satu atau dua lagi gol dan kemudian selepas itu kita boleh memperlahankan pesedikit dan membuat mereka berlari lebih banyak.”

Fernandes, yang menjadi kapten pasukan tanpa kehadiran Harry Maguire, mengatakan satu lagi tabiat buruk United yang perlu ditangani adalah bolos dari serangan balas.

Gol penyamaan Everton datang dari serangan balas selepas sepakan penjuru United diambil oleh Fernandes.

“Kita harus belajar kerana bukan pertama kali berlaku, kita harus melakukan sesuatu, mengubah sesuatu kerana ada yang tidak kena apabila bolos begitu banyak dari serangan balas.

“Ini mengenai pemain melakukan sesuatu, bukan tentang orang lain. Saya harus mengambil sepakan sudut dengan lebih baik, banyak lagi perkara harus menjadi lebih baik.

“Ini tidak cukup bagus, kita perlu mempunyai lebih banyak mata, tetapi inilah yang kita miliki sekarang. Kita harus melihat ke hadapan, apa yang boleh kita lakukan hingga akhir musim.”