Liga Super Malaysia Berita

Gembira dengan prestasi PJ City, P Maniam mahu kekalkan 100 peratus pemain tempatan

Dengan menduduki tangga ke-8 Liga Super selepas mengumpul 15 mata daripada 13 perlawanan, PJ City kekal dengan perancangan menggunakan 100 peratus pemain tempatan dan tidak akan menandatangani sebarang pemain import pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatihnya, P Maniam berkata, beliau yakin dengan kemampuan skuadnya dan menganggap barisan pemainnya telah menunjukkan prestasi terbaik setakat ini.

“Kita sangat gembira dengan kesemua pemain yang ada,” katanya kepada Bernama.

“Mereka telah menunjukkan persembahan dan prestasi sangat baik, malah akan kekalkan dengan skuad yang ada untuk terus beri peluang kepada mereka meningkatkan keyakinan.”

Bagaimanapun, Maniam mengakui beliau berminat untuk membawa masuk penyerang baharu, selepas Darren Lok mengalami kecederaan.

“Kita sedang mengenal pasti seorang atau dua lagi pemain untuk dibawa masuk iaitu pemain nombor 9 kerana tidak tahu bila Darren Lok akan kembali, namun jika tiada, kita akan gunakan Mahali Jasuli dan Kyril Muhymeen Zamberi.”