Liga Super Malaysia Berita

Pemilik Melaka pertimbang kedudukan Zainal Abidin, rancang ambil pemain baharu

Nasib Ketua Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan bagai telur di hujung tanduk apabila pihak pengurusan akan membincangkan kedudukannya selepas pasukan kendaliannya kini di tangga kedua tercorot dalam Liga Super.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Melaka United, Datuk Seri Justin Lim enggan meletakkan segala kesalahan kepada Zainal, sebaliknya menganggap ia berlaku disebabkan masalah kewangan yang dihadapi sebelum beliau mengambil alih pasukan yang menyebabkan moral pemain berada pada tahap rendah.

“Ia topik yang sering dalam perbincangan utama pengurusan kelab,” kata Justin kepada Bernama.

“Tetapi kita akan duduk berbincang dan buat keputusan mengenainya supaya ia lebih adil kepada Zainal Abidin.

“Mungkin keadaan pasukan ini juga disebabkan ada beberapa pemain yang tidak dapat menterjemahkan apa yang jurulatih mahukan kerana dalam bola sepak semuanya tentang kerjasama sepasukan.”

Justin mengakui keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang PJ City agak mengecewakan kerana pasukan itu bermain dengan baik namun jelas Melaka berdepan masalah ketumpulan jentera serangan.

Disebabkan itu, beliau merancang untuk menaikkan semula semangat pemain Melaka dan memberi bayangan akan membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan kedua yang dibuka ketika ini.

“Sejujurnya ketika kita (KenTeam Sdn Bhd) mengambil alih pasukan ini kami tidak meletakkan sasaran tinggi kerana fokus kita mahu membuat persediaan pasukan untuk tahun depan kerana kita melihat pasukan ini mempunyai potensi besar dalam Liga Malaysia.

“Namun bagi jendela perpindahan kedua kita akan melakukan perubahan besar termasuk membawa pemain yang mempunyai nama dalam pasukan ini untuk memastikan Melaka United FC mampu bersaing pada pusingan kedua Liga Super nanti.”