Malaysia Berita

Skuad Harimau Malaya terima dos kedua suntikan vaksin COVID-19

Tan Cheng Hoe dan barisan pegawai pasukan kebangsaan termasuk 29 pemain negara telah melengkapkan kitaran vaksin COVID-19 dengan suntikan dos kedua, selepas menerima dos pertama pada 19 April lepas.

Kapten skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak bersama-sama barisan pemain seperti Safawi Rasid, Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Syahmi Safari dan Farizal Marlias antara pemain negara yang menerima suntikan tersebut.

Turut mendapatkan dos kedua suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah dua Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.

Cheng Hoe berkata suntikan dos kedua vaksin memberi ‘ketenangan minda’ kepadanya tatkala jumlah kes positif masih mencatat angka yang membimbangkan menjelang kem latihan pusat, namun optimis barisan pemain akan hadir dalam keadaan kesihatan terbaik.

“Yang penting kita rasa selesa dan fikiran kita tenang, sebab kita tengok sekarang kes agak banyak. Sebagai jurulatih, saya risau juga mengenai kesihatan barisan pemain.

“Dan sudah tentu selepas selesai terima dos kedua, kita akan dapat lebih fokus kepada tugasan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Penjaga gol negara, Farizal menyifatkan suntikan vaksin itu membina keyakinan kepada pemain yang akan berdepan UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Bagi saya ini adalah satu perlindungan kepada pemain, jadi saya mengharapkan ia (vaksin) lebih selamat untuk masa akan datang. Saya juga harap pemain akan bersedia dari segi fizikal dan juga mental,” katanya.

Brendan pula berharap orang ramai tidak berasa takut untuk mendapatkan vaksin.

“Saya sangat berbesar hati kerana dapat suntikan vaksin dan menjadi sebahagian daripada kumpulan ini. Kebanyakan orang di luar sana perlu mendapatkan vaksin ini terutama mereka yang berisiko dan dalam kategori risiko.

“Vaksin adalah sesuatu yang positif dan saya berpendapat anda tidak perlu risau tetapi pada masa yang sama, kita juga harus berhati-hati,” tambahnya.

Malaysia akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen Kumpulan G menentang Thailand pada 15 Jun.