Liga Super Malaysia Berita

Akademi JDT boleh berbangga, 8 pelatih kini bergelar pemain profesional

Penubuhan akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ternyata membuahkan hasil.

Biasanya ia akan mengambil masa untuk melahirkan bakat yang benar-benar bagus.

Namun, akademi JDT tidak perlu menunggu terlalu lama apabila 8 pelatihnya kini telah bergelar pemain profesional.

Ia boleh dibuktikan menerusi Ramadhan Saifullah Usman, Arif Aiman Hanapi dan Feroz Baharudin yang telah melakukan penampilan dalam skuad senior JDT sejak musim 2020.

Malah, Ramadhan mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila menjaringkan 4 gol dan satu bantuan jaringan dalam 9 perlawanan.

5 lagi pelatih iaitu Gabriel Nistelrooy Anak Tamin, Asmirul Husaini Zamri, Ahmad Aysar Hadi Shapri, Rafiefikri Rosman dan Aiman Danish Azli Abdul Azam semuanya telah membuat penampilan untuk JDT II dalam Liga Premier.

Ahmad Aysar juga muncul sebagai pemain termuda dalam saingan Liga Premier 2020 di usia 17 tahun.

Menurut Johor Southern Tigers, kesemua lapan pelatih ini hanya berada sekurang-kurangnya dua tahun bersama Akademi JDT sebelum bergelar pemain profesional.

Setakat ini, JDT merupakan satu-satunya pasukan Liga Malaysia yang mempunyai akademi lengkap bermula dari Bawah-12 hingga Bawah-21.