Berita Asia

AFC batalkan kejohanan B-16, B-19, Futsal dan Bola Sepak Pantai 2021

AFC membuat keputusan untuk membatalkan beberapa kejohanan bagi edisi 2021 susulan bimbang dengan risiko penularan pandemik COVID-19.

Antaranya adalah Kejohanan AFC B-19 yang dijadual di Uzbekistan dan B-16 di Bahrain.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata dalam kenyataan, pembatalan kedua-kedua kejohanan itu selaras dengan keputusan FIFA yang membatalkan Piala Dunia B-17 dan B-20 tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua kejohanan B-19 dan B-16 berkenaan akan diteruskan pada 2023 dengan Uzbekistan dan Bahrain kekal menjadi tuan rumah.

“Kami menghargai dan berterima kasih atas sokongan tuan rumah yang bersetuju dengan AFC perlunya menjaga kepentingan semua pihak dalam keadaan tidak menentu dengan mempertimbangkan risiko pandemik semasa,” kata Windsor.

Di samping itu, Bahrain akan menjadi tuan rumah Kejohanan AFC B-17 manakala Uzbekistan pula menjadi hos Kejohanan AFC B-20 pada 2023.

AFC juga memutuskan untuk membatalkan Kejohanan Futsal AFC 2020 di Kuwait dan Bola Sepak Pantai AFC 2021 di Thailand.

Sebaliknya, kedua-dua negara tersebut akan menjadi hos edisi seterusnya masing-masing pada 2022 dan 2023.

AFC juga menjadualkan semula pusingan kelayakan Kejohanan Wanita Piala Asia 2022 B-20 dan Kejohanan Wanita Piala Asia B-17 2022.

Pusingan pertama B-20 telah ditangguh dari Mac kepada 14 hingga 22 Ogos manakala pusingan kedua kelayakan dari Ogos kepada 3 hingga 7 Nov.

Pusingan kelayakan pertama B-17 telah diubah dari April kepada 18 hingga 28 Sept dan pusingan kedua dari September kepada 8 hingga 12 Dis.