Malaysia Berita

Saya nak tolong bolasepak Perlis, tapi tiada siapa datang jumpa saya- Shahidan Kassim

Datuk Seri Shahidan Kassim masih berminat untuk menerajui Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) meskipun persatuan itu berhadapan dengan masalah kewangan.

Namun, beliau berasa sedikit terkilan kerana sehingga hari ini beliau tidak mendapat sebarang pelawaan daripada persatuan bola sepak negeri itu bagi mengisi jawatan presiden yang dikosongkan oleh Shaharuddin Ismail.

“Tiada siapa yang jumpa saya dan masing-masing hanya ceritakan masalah kepada media sahaja mengenai kemelut yang melanda.

“Kalau mereka jumpa, sudah pasti saya akan kembali menerajui bola sepak Perlis malah sudah bersiap sedia sepanjang masa,” katanya kepada Berita Harian.

Jelasnya, kesungguhannya untuk kembali menerajui PFA bukan sekadar cakap-cakap kosong semata-mata.

“Ini untuk mengembalikan kegemilangan Singa Utara dalam saingan liga tempatan.

“Walaupun Perlis sedang berdepan dengan kemelut, kami akan selesaikan ia satu-persatu dengan berhemah,” katanya.

PFA berdepan kemungkinan untuk dibubarkan selepas persatuan itu belum menjelaskan bayaran gaji pemain yang tertunggak sebanyak RM461,500 sejak bulan April yang lalu.

Pemangku Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan berkata, ada pemain yang mula meninggalkan kem latihan selepas beberapa bulan beraksi tanpa bayaran gaji.