Liga Super Malaysia Berita

JDT akan terus beli pemain baharu, tidak peduli dengan kritikan pemain anak jati Johor

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan bahawa pasukannya akan terus menggunakan polisi membeli pemain terbaik tempatan dan luar negara tanpa mengira asal-usul pemain tersebut.

Katanya, ini sebagai persediaan bagi menghadapi saingan musim depan yang dijangka lebih mencabar.

Disebabkan itu, dua pemain JDT II akan diserapkan ke pasukan utama bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

“Kami sudah dapat melihat pembangunan akar umbi yang berkembang dengan baik dan terdapat peningkatan positif untuk maju. Kami mempunyai dua pemain JDT II yang akan menyertai skuad utama JDT pada musim depan.

“Walaupun sudah banyak perkembangan positif dicapai dalam sistem pembangunan, itu tidak akan menghentikan kami daripada terus mengambil pemain baharu dari negeri lain. Kami tetap akan mencari pemain dan bakat dari negeri lain.

“Kita lihat pasukan Bayern Munich, berapa ramai anak jati Bavaria yang bermain untuk kelab itu? Berapa ramai anak jati Barcelona bermain dengan Barcelona?

“Berapa ramai anak jati Manchester yang bermain untuk Manchester City? Berapa ramai anak jati Turin bermain untuk Juventus? Berapa ramai anak jati Paris Saint Germain bermain untuk kelab itu?

“Polisi kami lebih kurang sama dengan kelab besar yang lain. Kami bukan sahaja bekerja keras untuk melahirkan pemain, tetapi kami tetap akan membeli pemain.

“Kepada sesiapa yang mahu kekal dalam mentaliti anak jati, sila bangga dengan apa yang anda ada, tetapi jangan sibuk mempersoalkan polisi kelab lain,” katanya.

TMJ turut menepis dakwaan bahawa JDT sudah hilang kepercayaan penyokongnya ekoran kemerosotan jumlah kehadiran peminat di Larkin.

“Ada juga pihak yang mengatakan kami hilang penyokong, tetapi kehadiran penyokong JDT adalah yang tertinggi daripada pasukan lain dalam negara sejak dari tahun 2013. Jadi, jagalah pasukan sendiri daripada sibuk dengan polisi pasukan lain,” katanya.