Liga Super Malaysia Berita

CEO Kedah: Tiada Sumareh, tiada Liridon Krasniqi

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali menafikan pasukannya mahu mendapatkan dua pemain naturalisasi negara iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Ini selepas kontrak Sumareh dengan Police Tero FC tamat pada bulan Disember lalu manakala Liridon dikhabarkan akan dipinjamkan dari JDT ke pasukan lamanya, Kedah.

“Media sosial itu biasa, adakah di media sosial itu satu benda yang pasti?” soal Khamal kepada Berita Harian.

“Setakat ini kita tiada info atau perjumpaan. Itu hanya spekulasi. Tak ada apa. Buat tak tahu sahaja, nama pun media sosial. Dia boleh baling batu dan sembunyi tangan. Tapi orang boleh percaya, itu yang bahaya.”

Pada masa sama, Khamal memberi bayangan bahawa Kedah kemungkinan tidak akan membawa masuk pemain ternama.

“Pemain baharu biasa sebab mana-mana pasukan pun ada. Cuma nanti Menteri Besar akan umum. Kejutan ini hanya akan ada pemain baharu sahaja, yang lain saya ingat tiada isu apa-apa.

“Setiap tahun persiapan pasukan berbeza, kalau kata kita ambil Sergio Aguero itu baru kejutan. Kita hanya persiapkan pasukan supaya lebih mantap dari tahun lalu, itu sahaja.”