Liga Premier Malaysia Berita

Kes pemain Kuching FA: MFL tidak akan ubah tarikh Liga Malaysia

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya tidak akan mengubah tarikh sambungan saingan Liga Malaysia pada 26 Ogos, walaupun terdapat kes positif COVID-19 melibatkan seorang pemain Kuching FA.

Beliau menganggap, pemain itu masih mempunyai masa untuk pulih, malah pasukan Kuching FA sendiri mempunyai peluang untuk berlatih semula.

“Kita ambil maklum dengan apa yang berlaku kepada Kuching FA dengan salah seorang pemain mereka yang positif COVID-19,” katanya kepada Sinar Harian.

“Jadi, tindakan segera diambil pengurusan Kuching FA apabila mengkuarantin semua pegawai dan pemain yang telah terlibat dalam latihan dan ia satu petanda yang baik.

“Saya juga difahamkan bahawa semua pemain dan pegawai pasukan tersebut telah diperiksa dan dalam masa tujuh hari mereka akan diperiksa sekali lagi. Jika tiada masalah, mereka boleh kembali menjalani latihan pada 6 Ogos ini.

“Ini bukan kluster Liga-M dan saya difahamkan ia adalah kluster Hospital Sentosa yang mana ia adalah tempat pemain tersebut bekerja. Perancangan untuk meneruskan saingan liga tetap berjalan seperti biasa buat waktu ini.”

Disebabkan kes itu, Ghani berharap semua pemain dan pasukan berhati-hati bagi mengelakkan daripada dijangkiti COVID-19 dan menjejaskan saingan liga.

“Kes yang berlaku kepada pemain terbabit mungkin sukar dielakkan sebab dia bekerja di hospital tersebut. Tetapi saya mahu nasihatkan kepada semua pemain dan pegawai pasukan untuk menjaga disiplin masing-masing dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ini.

“Tolong jaga diri, ikut nasihat dan SOP yang telah disediakan kerana anda semua mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan saingan liga bersambung pada 26 Ogos ini. Saya juga berdoa agar tidak ada kes Covid-19 ini dalam kalangan pemain lain.”