Liga Super Malaysia Berita

Khalid Jamlus setuju jual trofi Kasut Emas dengan harga RM99,999

Khalid Jamlus akhirnya bersetuju untuk menjual trofi Kasut Emas yang dimenanginya pada nilai RM99,999.

Anugerah itu dihadiahkan kepadanya selepas menamatkan musim 2002 selaku penjaring terbanyak Liga Perdana 1 bersama pasukan Perak dengan 17 gol.

Khalid mendedahkan, dia menjual trofi itu kepada individu yang hanya dikenali sebagai Tuah Nice selepas berbincang menerusi media sosial.

“Hari ini adalah penamatnya… dah ada orang membeli trofi Kasut Emas itu dengan harga RM99,999 dan beliau bersetuju dengan harga yang saya tetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya tidak boleh mendedahkan identiti mengenai pembeli berkenaan. Lagi pun beliau masih berada di luar negara dan hanya mahu dikenali sebagai Tuah Nice.

“Saya difahamkan dia juga belum boleh balik ke negara ini tetapi memaklumkan akan mengambil trofi Kasut Emas ini sejurus pulang ke Malaysia nanti.

“Walaupun saya tidak pernah berjumpa dengan Tuah Nice tetapi saya percaya kepada dia. Tuah Nice memberikan jaminan terhadap bidaan itu dan akan mengambil Kasut Emas saya itu bila pulang ke negara ini nanti.”