Malaysia Berita

Akmal Rizal: Keazaman Luqman Hakim beraksi di luar negara satu petanda positif

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menganggap keinginan tinggi yang ditunjukkan oleh Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi di Eropah merupakan satu petanda positif.

Akmal selaku salah seorang pemain negara yang pernah beraksi dalam saingan Liga Perancis di Eropah berpandangan keinginan dan keazaman Luqman akan membantu pemain berusia 18 tahun itu menjadi seorang pemain yang berkaliber satu hari nanti.

“Keinginan dia untuk bermain di luar negara pun sebenarnya membara dan ini satu petanda yang positif,” katanya kepada Sinar Harian.

“Dia akan menjadi pemain yang lebih baik dan cepat matang dalam permainannya sekiranya memanfaatkan peluang beraksi di Eropah, dengan kualiti yang ada pada Luqman sekarang dia mampu pergi lebih jauh pada masa depan.”

Akmal juga menganggap Luqman tidak perlu melayan sebarang spekulasi dan kritikan sesetengah pihaknya, sebaliknya memberikan fokus penuh kepada perkembangan karier.

“Saya nasihatkan Luqman supaya perlu bijak memanfaatkan setiap peluang.

“Tidak perlu memikirkan perkara remeh-temeh yang akan mengganggu karier bola sepaknya pada masa depan.”

Pada masa sama, Akmal berpandangan bahawa Luqman tetap boleh membuktikan keupayaannya di Eropah meskipun hanya beraksi dengan KV Kortrijk di Liga Belgium.

“Luqman sebenarnya akan membawa imej produk muda bola sepak tempatan ke pasaran Eropah bermula di Belgium biarpun bermula dengan kelab atau liga bawahan.

“Di sana nanti, Luqman perlu berusaha lebih gigih bagi meraih kepercayaan jurulatih dalam merebut slot kesebelasan utama kerana apabila Luqman mempamerkan prestasi cemerlang di Belgium, saya percaya tempiasnya akan terpalit kepada pemain muda Malaysia lain.

“Percaya atau tidak tentunya, pencari bakat kelab-kelab liga Belgium akan ke Malaysia bagi mencari pemain untuk pasaran Belgium atau negara benua Eropah lain.”