Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan United berlatih bulan depan

Kelantan United masih belum menetapkan sebarang tarikh untuk mulakan sesi latihan di padang, walaupun kebenaran sudah pun diberikan sejak 15 Jun yang lalu.

Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail bagaimanapun menjangkakan pasukannya akan kembali bersama pada bulan depan.

“Sekarang ini pihak pengurusan sedang melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan oleh MKN dan FAM sebelum pasukan dibenarkan menjalani latihan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya jangka pemain akan kembali menjalani latihan sebenar di atas padang bermula bulan hadapan selepas segala urusan dokumentasi diselesaikan oleh pengurusan Kelantan United.

“Kami tidak mahu melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana akan memberikan risiko kepada pemain dan pegawai yang terlibat semasa latihan.”

Buat masa ini, kata Zahasmi, para pemain meneruskan sesi latihan di rumah masing-masing dan perlu menghantar video latihan kepada barisan kejurulatihan.