Berita

Shahrel Fikri: Rasa macam musim 2020 baru bermula

Shahrel Fikri Md Fauzi berasa puas apabila dapat kembali menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan Perak buat pertama kali selepas hampir empat bulan berlatih bersendirian di rumah.

Pemain berusia 25 tahun itu juga mengakui semua pemain Perak menunjukkan reaksi positif dan bersemangat untuk menghadapi baki tujuh perlawanan saingan Liga Super, walaupun sesi latihannya berbeza daripada kebiasaan.

“Jurulatih maklumkan selama dua minggu latihan tanpa kontak akan dibuat, memang sedikit janggal sebab latihan sebelum ini ada kontak dan sekarang terpaksa menjaga jarak,” katanya kepada Bernama.

“Tapi saya gembira dan teruja dapat jumpa semua orang semula disebabkan sudah lama tidak berlatih berpasukan, perasaan berlatih sangat puas walaupun sekejap, dalam 40 minit hingga satu jam.”

Shahrel juga merasakan musim Liga Malaysia tahun ini seolah-olah belum lagi bermula.

“Selalunya, kami rehat sebulan apabila liga tamat tetapi sebab COVID-19 sampai tiga bulan lebih rehat.

“Jika sebulan rehat pun kami perlu kerja keras inikan pula tiga bulan. Peluang berlatih semula ini rasa macam memulakan hidup baharu…seperti musim 2020 baru bermula.”