Sukan SEA Liga Super Malaysia

Perlawanan liga Malaysia mungkin ditangguhkan lagi

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada badan pentadbir liga (FMLLP) untuk mempertimbangkan permintaan pengendali skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, yang mahu membuat persediaan pasukan dalam keadaan yang lebih baik untuk mengharungi temasya Sukan SEA 2017 yang bakal bermula ogos depan.

Antara permintaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah badan pentadbir liga (FMLLP) dapat menangguhkan tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bulan depan untuk memberi laluan kepada persiapan pasukan bawah 22 tahun negara.

“FAM menyokong permintaan Kim Swee dan kami sudah mengemukakan permohonan bagi menangguhkan aksi pada 4, 5 dan 9 Ogos memandangkan tiga perlawanan itu hampir dengan Sukan SEA 2017.  Jadi, kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak mereka berhubung permohonan ini,” katanya kepada wartawan.

“Walaupun pasukan sudah memberi jaminan untuk melepaskan pemain selepas tamat tiga aksi itu, tetapi saya kira lebih baik aksi terbabit ditangguhkan supaya Kim Swee ada lebih banyak masa untuk melakukan persiapan ke temasya itu,”

Mengulas lanjut mengenai Kelayakan kejohanan AFC U23, Datuk Hamidin mensasarkan skuad negara supaya dapat menamatkan saingan sekurang-kurangnya sebagai naib juara kumpulan.

Sementara itu, Kim Swee menyifatkan perkhabaran Hamidin itu sebagai satu berita gembira terutamanya selepas pelbagai kemelut yang melanda skuad bawah 22 tahun negara berhubung panggilan bagi mengharungi saingan Kelayakan B-23 AFC 2018 pada 19 hingga 23 Julai ini.

“Ini adalah berita terbaik yang saya dengar setakat ini terutamanya kita sendiri tahu saingan Sukan SEA akan bermula tidak lama.”

“Kalau penangguhan perlawanan itu dapat dilakukan, ini akan memberikan saya lebih masa iaitu kira-kira dua minggu dan itu sudah mencukupi untuk saya melakukan persiapan berbanding hanya lima hari mengikut jadual asal,” katanya.

sumber: Berita Harian