Liga Super Malaysia Berita

Disebabkan Melaka, Curran Ferns bersara dari dunia bola sepak

Setelah mendapat tunggakan gaji dari Melaka United, Curran Singh Ferns mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak pada usia 27 tahun.

Pemain kacukan Australia-Malaysia itu menerima bayaran RM97,500 dari bekas pasukannya dua hari lalu.

Dalam catatannya di akaun Instagram miliknya, Ferns tetap tidak berpuas hati dengan Persatuan Bola Sepak Melaka United atas kelewatan menyelesaikan tunggakannya.

Malah, beliau meminta mereka meminta maaf kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan para pemain di atas perkara tersebut.

“Saya harap ini akan menjadi pengajaran bagi setiap pasukan. Saya sekarang mengumumkan secara rasmi pengunduran diri saya dari bola sepak profesional,” katanya.

Ferns dilahirkan di Darwin, Australia. Ibunya berasal dari Johor Bahru dan membesar di Pulau Pinang manakala bapanya berasal dari Australia tetapi membesar di Liverpool, England.

Beliau mula mendapat perhatian ramai apabila menyertai JDTII dari Brisbane City pada 2016.

Namun, selepas enam bulan beliau menyertai Negeri Sembilan sebelum kemudian menyertai Felda United pada pertengahan musim 2017, membantu pasukannya menjuarai Liga Premier musim 2018 dan kembali ke Liga Super.

Bagaimanapun, Ferns meninggalkan Felda pada Jun 2018 untuk menyertai kelab Thailand, Sukhothai.

Beliau kembali ke Australia apabila menyertai Melbourne Sharks pada Julai 2019 namun tidak sampai enam bulan, beliau menandatangani kontrak dengan Melaka pada Disember 2019.

Ferns dan bekas rakan pasukannya Narupon Wild membuat keputusan untuk meninggalkan Melaka ekoran isu tunggakan gaji pada Julai 2020, sebulan sebelum Liga Malaysia disambung semula setelah lima bulan ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.