Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Varane dan Griezmann tewaskan Muslera untuk bawa Perancis ke separuh akhir

Perancis menjadi pasukan pertama yang melangkah ke separuh akhir Piala Dunia edisi 2018 setelah menewaskan Uruguay dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Nizhny Novgorod, malam tadi. Gol-gol pasukan Perancis dijaringkan menerusi tandukan ‘flick’ Raphael Varane dan rembatan deras Antoine Griezmann.

Berikut merupakan hasil daripada pemerhatian kami sepanjang perlawanan tadi berlangsung:

‘Zonal marking’ membunuh Uruguay

Di atas kertas, Uruguay kelihatan seperti mahu menggunakan sistem marking secara ‘man to man’ apabila menggunakan formasi yang seolah-olah menimbulkan 10 pertarungan satu lawan satu di atas padang. Namun, Uruguay sebaliknya menggunakan sistem marking secara ‘zonal’ dan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi gol pertama pasukan Perancis, apabila Raphael Varane yang langsung tidak dikawal mengambil kesempatan dengan terus meluru ke arah sepakan percuma Antoine Griezmann lalu melakukan tandukan ‘flick’ untuk menewaskan Fernando Muslera.

Uruguay rindukan Edinson Cavani

Jelas sekali, Uruguay amat rindukan Edinson Cavani. Luis Suarez dan Christian Stuani berjaya menyudahkan tugas untuk Uruguay, namun hakikatnya, mereka berdua gagal mengambil alih tugas-tugas yang ditinggalkan oleh Cavani. Setiap kali pemain Uruguay berjaya meletakkan bola ke dalam kotak penalti, tiada pemain atau pemain berada pada kedudukan yang kurang tepat untuk menyambut hantaran-hantaran tersebut. Ketika menentang Portugal, ianya tidak sebegitu kerana Edinson Cavani sentiasa berada di tempat yang betul. Melihatkan reaksi Edinson Cavani selepas tamat perlawanan di bangku simpanan Uruguay, jelas sekali beliau amat kecewa kerana terlepas perlawanan yang begitu penting ini.

Perancis ambil kesempatan atas Uruguay yang keras

Uruguay merupakan sebuah pasukan yang tipikal dengan permainan yang keras dengan pemain mereka sangat sangat komited dalam melakukan kerja-kerja defensif. Namun, pada malam tadi, gaya permainan mereka yang keras ini menjadi sebuah kelebihan pula buat pasukan Perancis apabila mereka dengan kerap berjaya memperoleh sepakan-sepakan percuma dan seterusnya memanfaatkan situasi-situasi bola mati yang mereka peroleh, yang mana salah satunya telah membolehkan mereka memperoleh jaringan yang pertama dalam perlawanan.

Hari malang Fernando Muslera

Beliau merupakan penjaga gol yang konsisten memberikan aksi yang terbaik setiap kali dipanggil beraksi untuk Uruguay. Namun, beliau agak malang dalam perlawanan malam tadi apabila menghadiahkan gol kedua buat pasukan Perancis setelah gagal memutuskan untuk menepis ataupun menangkap rembatan deras Antoine Griezmann daripada luar kotak penalti. Beliau juga turut melakukan satu lagi kesilapan yang signifikan apabila Antoine Griezmann hampir berjaya mengambil kesempatan atas kelekaan beliau ketika hendak memulakan gerakan pasukan Uruguay, mujurlah rembatan beliau yang berjaya dihadang oleh Griezmann hanya tersasar ke luar kawasan padang.

Perancis kurang tepat dalam melakukan ‘tembakan’

Mengikut statistik, Fernando Muslera gagal melakukan sebarang cubaan menyelamat daripada rembatan-rembatan yang dilakukan oleh pemain Perancis. Namun, statistik ini tidak menunjukkan betapa buruknya prestasi Muslera, sebaliknya ia disebabkan oleh rembatan-rembatan pemain Perancis yang majoritinya langsung tidak menepati sasaran, samada tersasar ke bahagian kiri atau kanan lubang gol Uruguay ataupun tinggi melewati palang gol Uruguay. Didier Deschamps mesti menyelesaikan masalah ini dalam sesi-sesi latihan yang akan datang, terutamanya apabila Brazil atau Belgium akan menanti mereka di separuh akhir. Jika Perancis banyak membazir peluang seperti perlawanan malam tadi, sudah pasti mereka akan dihukum teruk oleh Brazil atau Belgium di separuh akhir kelak.