Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 6 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia.

Situasi itu membuatkan setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Kali ini, terdapat satu gosip yang mengejutkan daripada bintang terkemuka di dunia. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Mario Balotelli

Penyerang Itali yang kembali menerima panggilan skuad kebangsaan pada tahun ini dilaporkan telah menolak satu tawaran lumayan untuk berhijrah ke China. Bekas penggempur Manchester City dan Liverpool ini sedang mencari kelab baru setelah meninggalkan kelab Ligue 1, Nice. Menurut Sky Italia, dia menerima tawaran gaji EUR30 juta setahun di Asia tetapi menolaknya kerana masih mahu beraksi di pentas Eropah.

Lucas Torreira

Pemain berusia 22 tahun ini dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal sejak bulan lalu dan baru-baru ini, bapanya mendedahkan pemain tengah Uruguay itu menolak tawaran untuk menjalani ujian kesihatan buat The Gunners ketika masih berada di Russia bagi aksi Piala Dunia. Bagaimanapun, perpindahannya ke Emirates tetap masih berpeluang untuk diselesaikan. Yuran perpindahan berjumlah GBP26.4 juta menjadi nilai bayaran yang dikeluarkan Arsenal untuk cuba mendapatkannya.

Mario Mandzukic

Transfer rumours ini sememangnya agak memeranjatkan walaupun pernah disebutkan sebelum ini. Manchester United dikatakan bercadang untuk mendapatkan khidmat penyerang Croatia ini dari Juventus, sambil Matteo Darmian akan mengikuti jalan keluar dari Old Trafford. Minat yang dipamerkan Juve terhadap Darmian dilihat sebagai faktor utama perpindahan itu boleh disempurnakan, walaupun The Old Lady tidak akan melepaskan bekas penyerang Bayern Munich itu jika tidak menerima tawaran yang setimpal.

Felipe Anderson

Pemain sayap Brazil yang bersama Lazio ini telah menarik minat West Ham United sejak dua bulan lalu. Bagaimanapun, The Hammers berdepan saingan sengit selepas ini selepas tiga gergasi Eropah, Chelsea, Monaco dan Valencia dikatakan turut berminat dengan khidmat Anderson.

Aaron Ramsey

Satu lagi transfer rumours melibatkan Lazio. Kali ini, kelab Itali mensasarkan pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey, sebagai pengganti buat Sergej Milinkovic-Savic, selepas bintang muda Serbia itu dijangka akan berhijrah bagi musim 2017/18. Kontrak Ramsey bersama Arsenal bakal tamat pada 2019 dan sehingga kini, dia masih belum bersetuju dengan kontrak baru.