Liga Super Malaysia

UiTM FC diberikan kemenangan percuma, pemotongan mata pasukan ATM dikurangkan

Badan pengurusan Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liabilities Patnership (FMLLP) mengumumkan pasukan UiTM FC diberikan 3 mata percuma kerana pasukan lawan menurunkan pemain yang digantung perlawanan.

Menurut FMLLP, pada 10 Julai 2017 dalam perlawanan 100Plus Liga Premier diantara UiTM FC menentang MIFA didapati pemain yang bernama Mohamad Zamri Pin Ramli (jersi nombor 16) dari pasukan MIFA telah bermain dalam perlawanan tersebut.

Pemain tersebut adalah tidak layak untuk bermain dalam perlawanan tersebut kerana digantung daripada bermain akibat mengumpul tiga (3) kad kuning.

Menurut Artikel 40, Bahagian 7, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2017, pasukan-pasukan mempunyai tanggungjawab untuk memantau penggantungan pemain. Artikel 40 juga menyatakan bahawa surat pengesahan daripada FAM hanya surat pemakluman dan penggantungan berkuatkuasa serta merta walaupun surat pengesahan hukuman diterima lewat oleh pasukan.

Pasukan MIFA telah melanggar Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2017 dengan membenarkan seorang pemain yang tidak layak akibat digantung untuk bermain dalam perlawanan UiTM FC menentang MIFA pada 10 Julai 2017.

Menurut Artikel 26.5, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2017, FMLLP boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana pasukan yang menurunkan pemain yang tidak layak.

Tambahan pula, Artikel 43.2, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2017 telah menyatakan tindakan-tindakan yang boleh diambil ke atas pasukan yang melanggar peraturan FMLLP.

Dengan itu, FMLLP melalui Artikel 26.5 dan Artikel 43.2, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2017, melucutkan hak MIFA dalam perlawanan tersebut dan kemenangan percuma sebanyak 3-0 diberikan kepada pasukan UiTM FC. Keputusan ini selari dengan Kod Tatatertib FAM dan akan berkuatkuasa dengan serta merta.

Rayuan pengurangan pemotongan mata pasukan ATM diterima

Melalui surat bertarikh 30 Jun 2017, rayuan ATM telah diterima oleh Ahli Lembaga Pengarah FMLLP.

Pasukan ATM telah melengkapkan proses pendaftaran melalui sistem SPMB dan tiada larangan untuk pasukan ATM mendaftarkan pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua.

Walaubagaimanapun, pasukan ATM melengkapkan proses pendaftaran melebihi dari 3 tempoh yang ditetapkan iaitu pada 31 Disember 2016 (tarikh akhir pertama), 4 Januari 2016 (tarikh akhir kedua) dan 31 Mac 2017 (tarikh akhir ketiga).

Maka keputusan pemotongan mata masih dikenakan terhadap pasukan ATM, namun dikurangkan kepada 3 mata.

sumber: laman facebook rasmi Football Malaysia LLP