Liga Super Malaysia Berita

Lee Tuck luah perasaannya selepas melihat Liridon Krasniqi jadi pemain naturalisasi

Selepas melihat Liridon Krasniqi menjadi pemain naturalisasi kedua Malaysia, pemain import Terengganu, Lee Tuck mengakui beliau masih berminat untuk mewakili negara.

Tahun lalu, pemain berusia 32 tahun itu dalam proses untuk menukar kerakyatannya, namun gagal mengemukakan dokumen yang dapat membuktikan dia memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia di sebelah neneknya.

Namun, Lee Tuck enggan berputus asa begitu sahaja apabila pemain JDT, Liridon Krasniqi berjaya menjadi pemain naturalisasi Malaysia menerusi kriteria melengkapkan tempoh lima tahun di sesebuah negara.

“Selepas mendapat perkhabaran Liridon menjadi pemain naturalisasi kedua Malaysia, saya begitu gembira dan ucap tahniah kepadanya kerana berjaya menjadi pemain naturalisasi,” katanya kepada BH Sukan.

“Buat Liridon, ini peluang yang baik untuknya, namun dia perlu bekerja lebih keras memberikan aksi terbaik untuk Malaysia kerana sudah pasti harapan besar disandarkan kepadanya.”

Namun, kes Liridon seolah-olah memberi sinar baharu buat Lee Tuck untuk cuba memohon sekali lagi untuk menjadi pemain Malaysia, sama ada sebagai pemain kacukan atau pemain naturalisasi.

“Jika ditanya, ya saya masih berminat untuk menjadi pemain naturalisasi di Malaysia dan berharap ia menjadi kenyataan pada satu hari nanti selepas semua dokumen dan syarat lengkap.”

Lee Tuck tidak akan berdepan masalah jika beliau dapat mengemukakan dokumen pertalian darah dengan neneknya.

Jika tidak, beliau perlu melalui proses naturalisasi dan melengkapkan tempoh lima tahun di Malaysia.

Setakat ini, Lee Tuck sudah berada di Malaysia selama empat tahun, apabila menyertai Negeri Sembilan pada Januari 2017 selama semusim sebelum menyertai Terengganu. Beliau sudah bersama Terengganu selama tiga tahun.