Selepas pertemuan dengan Bahrain dibatalkan kerana wabak koronavirus, skuad kebangsaan berkemungkinan besar akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Bhutan.
Menurut laporan Arena Metro, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Bhutan dalam masa terdekat.
Beliau akui, FAM mengalami kesukaran untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan negara Timur Tengah sebelum bertemu UAE dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2022 pada 26 Mac ini, berikutan wabak koronavirus yang semakin berleluasa di rantau itu.
“Perlawanan persahabatan penting untuk memastikan pasukan negara lebih bersedia sebelum berkunjung ke UAE namun kita perlu hormati Bahrain yang enggan meneruskan perlawanan persahabatan.
“Oleh itu, FAM akan cuba mencari pasukan yang bersedia untuk perlawanan persahabatan dan kemungkinan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Bhutan,” katanya.
Kali terakhir Malaysia bertemu Bhutan adalah pada bulan April 2018, yang menyaksikan skuad kebangsaan menang besar 7-0 ke atas negara dari Asia Selatan itu.