Malaysia Berita

Perlawanan amal JDT All Star kenang jasa Tunku Jalil

Pada 30 Jun nanti, kita akan melihat satu perlawanan amal di antara Johor Darul Tak’zim (JDT) yang bakal diketuai oleh  Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan nama JDT TMJ serta lawan mereka adalah JDT All Star.

Tujuan perlawanan amal ini diadakan selain daripada bermain bola sepak, perlawanan amal ini juga bakal menjadi sebahagian daripada sumbangan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Pertubuhan Bantuan Perempuan.

Tambahan daripada itu, melalui satu rakaman ketika Tunku Ismail ditemubual oleh Astro Arena berkata, perlawanan ini bakal menjadi sebahagian daripada memori dan legasi Tunku Jalil Sultan Ibrahim.

“Saya tidak boleh nafikan sebagai seorang abang, saya sangat rindu padanya, almarhum adik saya.

“Begitu juga dengan keluarga saya yang rindu pada almarhum Tunku Jalil dan kami juga tahu bukan almarhum adik saya sahaja mengidap penyakit kanser. Tetapi ramai lagi diluar sana yang memerlukan bantuan.”

Melalui perjuangan Tunku Jalil dalam menentang penyakitnya sendiri, Tunku Jalil juga adalah individu yang bertanggungjawab dalam membantu pesakit kanser.

Sehingga tertubuhnya Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, melalui laporan tahun lalu, YKTLJ telah menyalurkan bantuan perubatan kepada 322 pesakit kanser membabitkan peruntukan sebanyak RM1.16 juta, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.