Luar Negara Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Singapura Pesta Gol

Jaringan hatrik daripada Safuwan Baharudin menyaksikan Singapura menang selesa ke atas Timor-Leste 6-1 bagi menghidupkan peluang Singapura ke peringkat seterusnya dalam saingan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2018.

Singapura menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama manakala dua gol lagi terhasil pada separuh masa kedua.

Safuwan menjaringkan gol pertama pada minit ke-12 selepas beliau menanduk masuk untuk meletakkan Singapura di depan. Tetapi keputusan itu tidak bertahan lama selepas Timor-Leste mengejutkan tuan rumah dengan permainan pantas yang berjaya menyamakan kedudukan apabila Rufino Gama berjaya mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Pemain berusian 27 tahun yang bermain untuk Pahang sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya meletakkan Singapura kembali ke hadapan pada minit ke-20 sebelum Ikhsan Fandi menjaringkan gol ketiga buat Singapura.

Pada sebelum rehat masa pertama, Ikhsan Fandi sekali lagi mengejutkan peminat bolasepak dengan gol lipat daripada beliau yang menjadikan jaringan 4-1.

Timor-Leste bertahan sangat baik pada separuh masa kedua tetapi hilang fokus pada minit-minit akhir perlawanan dengan membenarkan pemain Singapura menjaringkan dua gol untuk menjadikan jaringan 6-1.