Sebanyak 30,600 keping tiket telah dijual menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil apabila skuad Harimau Malaya akan turun melayan kunjungan Myanmar, Sabtu ini.
Perkara ini dilaporkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan yang dibuat di akaun Facebook milik FAM.
Peminat bolasepak negara yang ingin membuat pembelian tiket boleh berbuat demikian dengan berkunjung ke kaunter khas di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini dan esok bermula 10 sehingga 5 petang. Manakala pembelian dalam talian sudah ditutup untuk semua kategori tiket selepas mencapai kuota jualan.
Selain daripada itu, peminat bolasepak boleh mendapatkan tiket dengan berkunjung ke Kaunter Tiket Pintu A & E di Stadium Nasional pada Jumaat (23 November 2018) dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang dan pada hari perlawanan, Sabtu (24 November 2018) bermula 10.00 pagi hingga sepak mula perlawanan (atau sehingga tiket habis terjual), hanya untuk tiket tempat duduk terbuka RM20 dan tiket kanak-kanak RM5 sahaja yang ditawarkan.
Skuad Harimau Malaya akan turun dengan misi memburu kemenangan dan membalas dendam ke atas Myanmar yang bertanggungjawab membawa pasukan negara pulang awal pada Piala AFF Suzuki edisi 2016.