Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 5 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia.

Situasi itu membuatkan setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Kali ini, terdapat satu gosip yang mengejutkan daripada bintang terkemuka di dunia. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Andre Gomes

Pengendali Arsenal, Unai Emery, kini telah memulakan sesi latihan bersama skuad The Gunners di Pusat Latihan London Colney tetapi usaha mendapatkan pemain-pemain baru tetap diteruskan. Nama pemain tengah Barcelona, Andre Gomes, menjadi sasaran baru buat Arsenal dan usaha itu dijangka tidak berdepan cabaran sukar kerana kelab LaLiga itu hanya meletakkan tanda harga bernilai GBP30 juta.

Jack Wilshere

Pemain tengah berusia 26 tahun ini telah bergelar ejen bebas selama sebulan selepas kontraknyat bersama Arsenal tamat pada musim lalu. Kini, West Ham United dikatakan telah memulakan perbincangan mengenai kontrak untuk membawanya ke Stadium London. Walaupun Wolverhampton Wanderers dan Everton turut berminat dengan khidmatnya, West Ham hanya perlu bersaing dengan kelab Turki, Fenerbahce, bagi mendapatkan pemain tengah yang memiliki ketinggian 172 sentimeter ini.

Xherdan Shaqiri

Penyingkiran Stoke City daripada saingan Liga Perdana Inggeris telah membuatkan khidmat Shaqiri menjadi buruan beberapa kelab besar. Bekas pemain Bayern Munich ini sebelum ini telah cuba dipancing oleh Liverpool, namun Jose Mourinho juga berminat untuk memberikan peluang buat bintang Switzerland ini menyarung jersi Manchester United. Nilai GBP12 juta yang ditetapkan buatnya sudah tentu menjadi harga yang sangat berbaloi buat mana-mana kelab.

Ki-Jana Hoever

Liverpool kini menyasarkan pemain muda berbakat dari Ajax, Ki-Jana Hoever. Berusia 16 tahun, pemain yang beraksi sebagai bek kanan ini juga mampu mengisi ruang pertahanan tengah, sekaligus menarik minat pengendali The Reds, Jurgen Klopp. Hoever merupakan anggota skuad B-16 yang telah memperkuatkan Ajax sejak 2014 selepas berhijrah daripada pasukan belia AZ Alkmaar.

Pep Guardiola

Dipenuhi kisah perpindahan pemain, kali ini transfer rumours melibatkan pengurus pasukan menjadi pilihan. Pep Guardiola dikaitkan dengan jawatan panas di Argentina untuk menggantikan Jorge Sampaoli. Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) dilaporkan bersedia untuk membayar USD12 juta setahun sehingga 2022 kepada Manchester City bagi membolehkan bekas pengurus Barca itu meninggalkan Etihad.