Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Anak buah Aliou Cisse berkemas pulang, Colombia juara Kumpulan H

Pertembungan akhir dalam Kumpulan H melibatkan pasukan dari Afrika, Senegal dan pasukan dari Amerika Selatan, Colombia. Sebelum perlawanan, Senegal berada di tangga kedua Kumpulan H dengan 4 mata, manakala Colombia berada di tangga ketiga dengan 3 mata.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan untuk mendapatkan gol. Namun, mereka juga cukup berhati-hati. Separuh masa pertama tamat dengan kedua-dua terikat tanpa jaringan.

Gol tunggal perlawanan hanya hadir pada separuh masa kedua menerusi Y. Mina setelah menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru. Perlawanan kekal 0-1 dan Colombia berjaya menjadi juara Kumpulan H manakala Senegal pula jatuh ke tangga ketiga kerana mengumpul kad kuning melebihi pasukan Jepun walapun terikat mata dan jumlah perbezaan gol.

Berikut adalah beberapa pemerhatian kami pada perlawanan ini:

Senegal lebih ghairah menyerang

45 minit pertama menyaksikan Senegal lebih banyak menyerang berbanding Colombia. Serangan mereka mampu sampai ke kotak penalti Colombia. Beberapa percubaan dapat dilakukan walaupun lemah dan tidak tepat ke sasaran. Pertahanan Colombia juga tampak sibuk dalam menyerap asakan mereka. 45 minit kedua pula menyaksikan Colombia pula lebih banyak menyerang namun mereka agak sukar untuk masuk ke kotak penalti Senegal.

Falcao kurang impak

Tidak dinafikan Falcao kurang mendapat bola daripada rakan sepasukan. Namun beberapa bola yang dihantar kepadanya tidak dimanfaatkan dengan baik. Kadangkala penyerang AS Monaco kelihatan 'blur' untuk melakukan serangan ke arah pintu gol yang dijaga oleh Ndiaye. Selain itu, Falcao juga sering tewas dalam persaingan fizikal dengan pertahanan Senegal.

Penyerang Senegal kurang tajam

Beberapa kali berjaya menyelusup masuk ke kawasan penalti Colombia namun percubaan yang dilakukan adalah lemah, tidak tepat ke sasaran malah jauh melangit. Dengan mereka lebih banyak melakukan percubaan namun tiada satu pun yang dapat ‘convert’ kepada gol menyebabkan kerugian kepada mereka sendiri.

Tiada James, tiada masalah

Perlawanan sebelum ini menyaksikan pemain tengah menyerang, James Rodriguez menjadi nadi utama dalam merakamkan kemenangan ke atas Poland. Namun pada perlawanan kali ini, James dikeluarkan sebelum daripada tamat masa pertama ekoran kecederaan. Namun pasukan Colombia tetap dapat melancarkan serangan dan mengancam kubu Senegal.

Ospina kekal ‘alert’ dengan ancaman

Walaupun penyerang-penyerang Senegal mengancam kubu Colombia dengan percubaan yang lemah dan tidak tepat ke sasaran, Ospina tetap berhati-hati dengan semua bola tersebut. Tidak mengambil mudah, dan tidak leka dapat memastikan mereka mencatat ‘clean sheet’ pada perlawanan ini. Namun, beberapa percubaan dan larian yang betul mengancam kubunya berjaya di atasi dengan baik.