Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Jaringan cantik Adnan Januzaj bantu Belgium juarai Kumpulan G

Dengan kedua-dua pasukan sudah layak ke pusingan seterusnya, Roberto Martinez dan Gareth Southgate merehatkan majoriti pemain utama mereka.

Tiada tempat untuk Harry Kane dan Romelu Lukaku, dengan pemain-pemain simpanan diberikan peluang. Rombakan ini sedikit mengganggu rentak pasukan dan tempo permainan menjadi agak perlahan. Namun, jaringan cantik Adnan Januzaj membantu Belgium menewaskan England dan menjuarai Kumpulan G. Ini analisis bagi perlawanan ini.

 

Peluang untuk Rashford dan Vardy

Dengan kelayakan ke pusingan seterusnya sudah sah, England mempunyai peluang untuk merehatkan beberapa pemain kesebelasan utama mereka. Penjaring terbanyak dan ketua pasukan Harry Kane direhatkan dan ini adalah peluang yang perlu diambil oleh Marcus Rashford dan Jamie Vardy untuk menunjukkan kelebihan mereka. Tiada perubahan dari segi formasi dan taktikal England yang terus menggunakan formasi 3-5-2.

Belgium tanpa Lukaku dan Eden Hazard

Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez mengesahkan bahawa Romelu Lukaku mengalami kecederaan dan tidak akan diturunkan. Tetapi melihat kepada kesebelasan utama yang diturunkan, dia bagaikan tidak mahu menang dan tidak kisah jika tidak menjuarai kumpulan. Batshuayi, Januzaj, Tielemans, Thorgan Hazard, Chadli dan Dendoncker diberi peluang oleh Martinez. Belgium nampaknya sama dengan England menggunakan tiga pemain pertahanan, cuma bezanya, mereka menggunakan formasi 3-4-3 dengan Januzaj dan Tielemans akan banyak menyerang dari bahagian tepi.

Belgium perlukan Lukaku

Michi Batshuayi bukan seorang penyerang yang tidak bagus, tetapi dia bukan Lukaku. Dia berbisa dan laju, tetapi dia tidak kuat seperti Lukaku. Belgium perlu menurunkan Fellaini untuk merebut bola di udara jika Lukaku tidak beraksi. Ini berbeza apabila penyerang Manchester United itu diturunkan. Dia mempunyai kepantasan, berbisa dan mempunyai kekuatan untuk melindungi bola dan membawa rakan sepasukannya menyerang. Tindakan bijak daripada Roberto Martinez untuk melindungi Lukaku dan mempersiapkannya untuk bermain di peringkat kalah mati nanti kerana Lukaku bagaikan dua pemain digabungkan menjadi satu.

Apa posisi terbaik Rashford?

Marcus Rashford diletakkan sebagai penyerang bergandingan dengan Jamie Vardy dalam perlawanan ini. Namun, dia seakan-akan terlalu mencuba dengan sentiasa bergerak keliling padang untuk mendapatkan bola. Sekejap dia ke kanan, sekejap dia ke kiri, sekejap dia di bawah dan ada masanya dia di atas. Tidak salah untuk dia rajin, tetapi sebagai penyerang, mungkin lebih baik untuk Rashford lebih banyak berada di kawasan kotak penalti lawan untuk menjaringkan gol. Bahkan, di penghujung perlawanan, dia bermain sebagai pemain bek sayap menggantikan Trent Alexander-Arnold. Jika ini diteruskan, Rashford akan kehilangan bisa dan keyakinannya di depan gol, seperti ketika dia berdepan satu lawan satu dengan Courtois tetapi tersasar.

Perlawanan yang hambar

Dengan kedua-dua pasukan sudah layak ke pusingan seterusnya, kedua-dua pasukan nampaknya beraksi dengan tempo yang agak perlahan. Dengan kedua-dua pasukan membuat rombakan besar kepada kesebelasan utama mereka, tempo permainan agak terganggu. Bagaimana agaknya jika perlawanan ini berlangsung lebih awal atau pada perlawanan kedua? Mungkinkah ianya akan menjadi lebih menarik dengan lebih banyak percubaan ke arah gawang masing-masing?