Luar Negara Piala Dunia 2018

Kami terpaksa berhenti menyerang, kata jurulatih Jepun

Jurulatih Jepun, Akira Nishino mendedahkan beliau terpaksa memaksa pemainnya agar tidak melakukan sebarang serangan ketika perlawanan berada dalam minit-minit terakhir menentang Poland untuk layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia.

Jepun ketinggalan 1-0 ketika saingan berbaki 10 minit, namun Colombia mendahului Senegal dengan jumlah jaringan yang sama dalam aksi serentak Kumpulan H memberi kelebihan kepada Jepun walaupun hanya layak menerusi peraturan ‘fair play’.

Pemain Jepun dan Poland dilihat memperlahankan permainan ketika berbaki 10 minit, menyebabkan mereka dihujani dengan ejekan daripada penonton di stadium.

“Ia keputusan yang sukar,” jelas Nishino.

“Terdapat andaian ‘jika’ ia memihak kami dan ‘jika’ itu memihak perlawanan satu lagi.

“Saya memilih untuk memastikan kami mengekalkan status quo dalam permainan dan bergantung kepada keputusan lain.

“Pemain menuruti dan mengikut keputusan saya. Ia adalah sukar kerana falsafah saya adalah bermain secara menyerang.

“Situasi berkenaan memaksa saya membuat keputusan tersebut,” katanya.

Jepun menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan terikat mata serta perbezaan gol yang sama dengan Senegal namun dengan kekurangan dua kad kuning, Samurai Biru layak ke pusingan kedua namun akan bertemu dengan lawan yang sukar iaitu Belgium, yang sedang berada dalam prestasi terbaik dan dibarisi pemain berkelas dunia.

Kejayaan Jepun sekali gus melenyapkan kebimbangan penyokongnya dan kritikan media selepas memecat jurulatih Vahid Halilhodzic ketika kejohanan berbaki dua bulan dan melantik pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Nishino sebagai jurulatih yang baharu. – AFP