Luar Negara Eropah

Alireza Jahanbakhsh dan barisan penyerang Asia paling prolifik di Eropah

Alireza Jahanbakhsh baru sahaja mengesahkan dirinya selaku penjaring terbanyak Eredivisie, liga utama Belanda.

Pemain dari Iran ini membuktikan bahawa kualiti pemain dari Asia tidak kurang hebatnya berbanding pemain di Eropah, Amerika Latin dan Afrika.

Selainnya, siapa lagi pemain dari Asia yang mencatat gol terbanyak di liga-liga Eropah?

 

Maksim Shatskikh (22 gol, Dynamo Kiev 2002/03)

Bekas penyerang skuad kebangsaan Uzbekistan ini dibawa masuk ke Dynamo Kiev bagi menggantikan penyerang legenda mereka, Andriy Shevchenko. Shatskikh jelas tidak mengecewakan apabila muncul penjaring terbanyak Liga Ukraine sebanyak dua kali. Sehingga kini, dia bergelar penjaring terbanyak sepanjang masa Liga Ukrainie dengan 123 gol, berkongsi jumlah dengan seorang lagi legenda Dynamo Kiev, Sergiy Rebrov

Alireza Jahanbakhsh (21 gol, AZ Alkmaar (2017/18)

Pemain skuad kebangsaan Iran ini baru sahaja meletakkan nama selaku penjaring terbanyak Liga Eredivisie Belanda. Jumlah 21 gol yang diraih telah mengatasi pemain sayap PSV Eindhoven, Hirving Lozano, serta tonggak ADO Den Haag, Bjorn Maars Johnsen. Jahanbakhsh juga memastikan dirinya sebagai pemain Asia pertama yang menjadi penjaring gol terbanyak di Liga utama Eropah.

Reza Ghoochannejhad (20 gol, Heerenveen (2016/17)

Setahun sebelumnya, pemain Iran lain, Reza Ghoochannejhad, terlebih dahulu hampir meletakkan diri selaku penjaring terbanyak di Eredivisie, namun koleksi 20 golnya tewas tipis di tangan bintang muda Feyenoord, Nicolai Jorgensen. Ghoochannejhad yang beraksi untuk Heerenveen juga harus berkongsi kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak dengan peledak Vitesse, Ricky van Wolfswinkel.

Cha Bum-kun (17 gol, Bayer Leverkusen 1985/86)

Pengendali skuad kebangsaan Korea Selatan di Piala Dunia 1998 ini melalui karier dengan memperkuatkan pasukan-pasukan Jerman pada dekad 1980-an. Bersama Eintracht Frankfurt, Cha menjuarai Piala UEFA 1979/80. Prestasi itu diulangi bersama Bayer Leverkusen pada akhir musim 1987/88. "Cha-Boom" mencatat 17 gol untuk Leverkusen pada musim 1985/86. Peratuan Statistik Dunia, IFFHS, menamakannya sebagai pemain terbaik Asia abad ke-20.

Shinji Okazaki (15 gol, Mainz 2013/14)

Sebelum membarisi barisan Leicester City pada musim 2015/16 dan mengejutkan banyak pihak apabila menjuarai Liga Perdana Inggeris, Shinji Okazaki terlebih dahulu mencuri perhatian di pentas Bundesliga. Pada musim 2013/14, pemain yang memulakan karier bersama Shimizu S-Pulse ini berjaya mengutip 15 gol. Semusim kemudian, dia mencatat 12 jaringan, sekaligus menarik minat Leicester untuk membawanya ke England.

Son Heung-min (14 gol, Tottenham Hotspur 2016/17)

Dibandingkan dengan Cha Bum-kun, rekod jaringan Heung-min di Eropah sebenarnya lebih menarik. Dia sudah mengumpul lebih 50 gol setelah enam musim beraksi di Bundesliga sebelum berhijrah ke Liga Perdana Inggeris. Bersama Spurs, Son kembali memukau dengan catatan 47 gol dalam tiga musim. Pencapaian terbaiknya di liga adalah 14 gol, iaitu pada musim 2016/17.