Malaysia Liga Super Malaysia

Dominic, Syamer sah pulang ke Malaysia, bakal perkuatkan skuad JDT

Johor Darul Ta’azim (JDT) telah mengumumkan kehadiran semula dua pemain mereka yang berlatih di Portugal, Dominic Tan dan Syamer Kutty Abba bagi separuh kedua Liga Super musim ini. Berita ini diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

Kehadiran dua pemain ini adalah untuk menggantikan tempat beberapa pemain seperti Junior Eldstal dan Amirulhadi Zainal yang diturunkan ke JDT II.

Dominic dan Syamer telah dipinjamkan ke kelab Portugal, Vilaverdensen pada awal musim bagi mengikuti sesi latihan dan menimba ilmu.

Selain Dominic dan Syamer, pemain-pemain lain yang turut menyertai JDT pada separuh kedua musim Liga Super adalah Harry Novillo, Jorge Santos Silva dan Kiko Insa.

Nicolas Fernandez, Darren Lok dan Fazly Mazlan juga turut bersama Junior dan Amirulhadi ke JDT II.

JDT kini berada di puncak Liga Super selepas memungut 24 mata daripada sembilan perlawanan. JDT cuma tewas sekali setakat ini, iaitu ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Juara bertahan Liga Super itu kehilangan Jorge Pereyra Diaz yang menghilangkan diri sebelum perlawanan Piala AFC.