Kajian & Analisis Berita

10 kelab terbaik di Asia Tenggara untuk bulan April 2018

Hai semua pembaca Tribe!

Selamat datang ke paparan terbaru Football Tribe, iaitu “10 pasukan terbaik bulanan Asia Tenggara”, dimana ia menampilkan 10 buah skuad yang beraksi dengan bagus daripada di rantau Asia sepanjang bulan.

Selepas tampil dengan edisi pertama pada Mac, edisi kedua artikel ini menerangkan kepada anda tentang 10 pasukan terbaik Asia Tenggara pada April yang menampilkan pasukan seperti Bangkok United, Persipura Jayapura dan juga Hanoi FC selepas menarik perhatian dengan aksi yang memukau:

Barito Putera

Barito Putera telah melalui persembahan yang memberangsangkan pada bulan April setelah mencatat tiga kemenangan dan satu seri. Statistik itu dilihat bagus memandangkan Barito bukanlah sebuah pasukan besar jika dibandingkan dengan Persija Jakarta dan Persib Bandung tetapi disebabkan tiga kemenangan dan aksi hebat Douglas Packer, mereka kini berada di tangga kelima Liga 1 Indonesia.

Chonburi FC

Bekas gergasi Liga Thailand ini memulakan musim ini dengan beberapa keputusan yang mengejutkan sehingga hampir meletakkan mereka di bahagian pertengahan carta liga. Bagaimanapun, selepas berlaku pertukaran pengurusan yang menyaksikan Jakkapan Panpee mengambil-alih, mereka dilihat bangkit dan mencatat tiga kemenangan daripada lima perlawanan disepanjang April. Aksi yang paling mencuri tumpuan adalah kemenangan ke atas PT Prachuap, pasukan Thailand yang telah mengejutkan banyak pihak dan kekal tanpa kalah dalam lima aksi sebelum bertemu Chonburi.

Perak FA

Perak mengharungi bulan April dengan hebat apabila kembali mendaki ke kelompok teratas Liga Super untuk berada di tangga ketiga liga. Walaupun ditunjukkan jalan keluar dalam aksi Piala FA oleh PKNS, Perak mencatat beberapa kemenangan penting ke atas Kuala Lumpur dan juga PKNP FC, sambil kemaraan itu ditunjangi oleh gandingan Brazil di barisan depan, Wander Luiz dan Gilmar.

Sanna Khanh Hoa

Walaupun memulakan saingan April dengan kekalahan di tangan Ho Chi Minh City, Sanna Khanh Hoa bangkit dengan lebih hebat menerusi beberapa persembahan mantap dalam saingan liga dan juga Piala Nasional. Mereka kini berada di tangga ketiga liga sambil Nguyen Tuan Manh berada di prestasi terbaik.

Persija Jakarta

Persija adalah satu lagi pasukan yang memulakan saingan April dengan kekalahan, namun bangkit memukau untuk meraih kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim dan Tampines Rovers bagi saingan Piala AFC. Untuk aksi liga, mereka juga mencatat kemenangan penting ke atas Borneo FC dan PSIS pada penghujung April.

Pahang FA

Walaupun penyerang utama, Francis Forkey Doe, mengalami kecederaan pada penghujung Mac, Pahang kekal tanpa kalah disepanjang April untuk naik ke tangga kedua carta Liga Super Malaysia. Selain itu, mereka juga melakukan kejutan hebat apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim di tempat lawan untuk menempah tiket separuh akhir Piala FA.

Persipura Jayapura

Persipura Jayapura yang dikendalikan oleh Peter Butler meneruskan aksi yang menarik perhatian dalam saingan Liga 1 Indonesia pada musim ini selepas mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan pada April untuk kekal di puncak liga. Marcel Sacramento telah memainkan peranan utama apabila menjaringkan empat gol di sepanjang bulan lalu.

Hanoi FC

Oseni Bolaji meneruskan prestasi hebat buat Hanoi FC pada musim ini melalui lapan lagi jaringan pada April, sekaligus membantu Hanoi kekal tanpa kalah di sepanjang April. Hasilnya, mereka kekal di tangga teratas Liga V ketika ini berbekalkan 14 mata daripada enam perlawanan.

Buriram United

Buriram melalui kempen yang tidak menentu pada April tetapi anda tidak boleh memandang rendah pencapaian mereka pada bulan lalu. Walaupun tidak beraksi cemerlang dalam liga, mereka berjaya meraih satu kemenangan dan seri sekali untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia. Keputusan 1-1 ketika bertemu Guangzhou Evergrande tentunya sangat hebat.

Bangkok United

Bangkok United tentunya pasukan terbaik di Asia Tenggara pada April selepas mencatat lima kemenangan dan hanya dua kali dibolosi. Selepas permulaan yang agak perlahan pada musim ini, mereka kini mengesahkan status sebagai pencabar kejuaraan Liga Thailand tatkala Sumanya Purisai kini berada pada tahap terbaik.