Malaysia Liga Super Malaysia

Abdul Latiff kekal di Terengganu jika Irfan Bakti kekal

Kapten Terengganu Abdul Latiff Suhaimi sudah bersedia untuk menandatangani kontrak baru bersama Sang Penyu, sekiranya ketua jurulatih, Irfan Bakti, dikekalkan oleh PBSNT.

Menurut laporan Arena Metro, Latiff telah menerima tawaran dari tiga kelab Liga Super dan Liga Premier untuk musim yang akan datang, namun pemain tersebut lebih berminat untuk meneruskan kariernya bersama pasukan Terengganu.

“Selepas berjaya membantu skuad Penyu melangkah ke Liga Super musim depan, saya ada dihubungi beberapa pasukan daripada Liga Perdana dan Liga Super untuk menyertai mereka tahun depan.

 “Namun saya menolak tawaran itu kerana secara jujurnya masih sayang untuk meninggalkan Terengganu dan jika khidmat diperlukan saya mahu kekal kerana pihak pengurusan sentiasa menjaga kebajikan pemain.
“Bagaimanapun jika sekiranya ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim mengambil keputusan untuk berhijrah dengan pasukan lain musim depan, saya akan memikirkan semula kedudukan itu,” kata Abdul Latiff
Di bawah kendalian Irfan, Terengganu bukan sahaja berjaya meraih slot Liga Super buat musim 2018, malah mereka masih boleh memenangi kejuaraan Liga Premier, sekiranya beberapa keputusan berpihak kepada Sang Penyu.
“Secara jujur, Irfan Bakti adalah tonggak utama kejayaan kami, beliau seorang yang tegas dan berwawasan, secara purata boleh saya katakan lebih 90 peratus pemain yang menyarung jersi skuad Penyu musim ini mahukan jurulatih itu kekal membimbing skuad itu musim depan.

“Selain itu, peminat setia juga mahukan jurulatih itu kekal bersama Terengganu kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya membantu skuad Penyu layak ke Liga Super,” tambah beliau.