Berita Malaysia

Nelo Vingada tekad lupakan insiden di Melaka, mahu kemenangan ke atas Hong Kong

Sesiapa yang menghadiri perlawanan Malaysia vs Hong Kong di Stadium Hang Jebat pada bulan lepas sudah pasti akan mengingati insiden yang berlaku pada penghujung perlawanan tersebut.

Aidil Zafuan ditunjukkan kad merah selepas menolak pengadil perlawanan, manakala ketua jurulatih Malaysia, Nelo Vingada seolah-olah mahu menyerang pengadil selepas wisel penamat dibunyikan.

Akibatnya, Aidil digantung empat perlawanan dan juga didenda sebanyak AS$5,000 (RM21,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)

Namun, Vingada tekad mahu lupakan isu tersebut dan berpendapat bahawa ianya lebih baik jika fokus penuh diberikan terhadap perlawanan seterusnya.

“Mungkin kesilapan itu hadir daripada pemain. Mungkin kesilapan itu hadir daripada jurulatih atau mungkin semua ini adalah salah faham tetapi saya sudah melupakan apa yang berlaku di Melaka itu,” ojar Vingada kepada Kosmo!

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan mahu fokus kepada pasukan yang akan bermain menentang Hong Kong nanti.

“Apa pun, semua mengharapkan pengadil lebih baik akan ada dalam perlawanan itu dan apa yang menjadi keutamaan saya adalah fokus kepada Hong Kong.

“Di simpang itu, saya mengharapkan kemenangan akan menjadi milik Malaysia biarpun kami menyedari ia bukan mudah bermain di stadium lawan,” tambah beliau.

Skuad Malaysia memulakan latihan pusat di Wisma FAM pada petang semalam. Mereka akan berlepas ke Hong Kong pada 6 Oktober dan perlawanan tersebut dijadualkan untuk berlangsung pada 10 Oktober.