Malaysia

Analisis: Zorac jadi hero Kuantan, Axis-O2 bantu beri imej positif kepada bolasepak komuniti

Pasukan Marcera Kuantan FA berjaya melangkah ke pusingan ketiga Piala FA selepas meraih kemenangan 7-0 ke atas Axis-O2 FC di Stadium UiTM malam semalam.

Zarko Korac menjadi hero Kuantan dengan jaringan hat-trick, manakala bekas bintang skuad kebangsaan Malaysia, Manaf Mamat turut menjaringkan satu gol. Bagi pasukan Axis-O2 pula, mereka menunjukkan corak permainan yang positif di atas padang, meskipun tewas besar.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan ketika perlawanan tersebut:

FAKTOR FIZIKAL DAN PENGALAMAN BANTU KUANTAN

Selain kebolehan, dua faktor besar yang membantu Kuantan meraih kemenangan yang cukup besar ke atas pasukan Liga Sosial, Axis-O2 FC malam semalam adalah faktor fizikal dan pengalaman. Setiap kali pemain Kuantan hilang kawalan bola, mereka berjaya menggunakan tekanan fizikal untuk mendapatkan bola semula. Faktor fizikal juga membantu mereka menjaringkan tiga daripada tujuh gol di Stadium UiTM, malam semalam.

AXIS-O2 PAMERKAN KEBERANIAN

Meskipun hanya sebuah pasukan liga sosial, Axis-O2 FC bermain dengan cukup positif dan berani di atas padang semalam. Mereka tidak menunjukkan sebarang ketakutan, dan sering cuba untuk melancarkan serangan, biarpun selepas membolos empat atau lima gol. Trio bahagian tengah, Adli Zulgafli, Aidil Zainal dan Lukhman Noor Hakim nampak agak tenang di atas padang, manakala Haedar Abdul Halim pula banyak membuat larian berbahaya di sayap kiri. Malah, Axis terus cuba untuk menyerang selepas Kuantan berjaya menjaringkan gol ketujuh mereka. 

HAEDAR PEMAIN TERBAIK AXIS

Jika ada satu pemain Axis-O2 yang mencuri tumpuan ramai, ia adalah Haedar Abdul Halim. Pemain sayap kiri itu nampak cukup bahaya setiap kali Axis-O2 cuba melancarkan 'counter-attack' dan dia rajin membuat larian, walaupun ditekan dengan agresif oleh pemain pertahanan Kuantan. Dia hampir menjaringkan gol 'consolation' untuk pasukannya, namun nasib tidak menyebelahi pemain itu malam semalam.

KORAC BAKAL JADI KUNCI UTAMA UNTUK KUANTAN

Jika Kuantan banyak meletakkan harapan ke atas Abdul Malik musim lepas, Zarko Korac akan menjadi tonggak utama mereka di Liga Premier, musim ini. Pemain yang berasal daripada Montenegro itu berjaya meledak hat-trick untuk Kuantan FA malam semalam dan menunjukkan keserasian yang bagus dengan rakan sepasukannya di bahagian tengah. 

SUASANA MERIAH IRINGI PERLAWANAN BERSEJARAH

Perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM malam semalam merupakan sebuah perkara yang cukup bersejarah, kerana buat kali pertama, pasukan liga sosial (termasuk Southern FC) berjaya mara ke pusingan kedua Piala FA. Barisan penyokong Axis-O2 yang hadir malam semalam mencipta suasana yang cukup meriah, biarpun pasukan mereka membolos gol demi gol. Ini merupakan semangat kesukanan yang wajar dicontohi kerana bola sepak bukan hanya tentang kemenangan atau kekalahan.

Kredit Foto: Padang Bola Sepak (Twitter)