Malaysia

Demi membantu pembangunan liga sosial, Melaka United beri bantuan RM15k kepada Southern FC

Melaka United telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi perlawanan pusingan kedua Piala FA di antara mereka dan pasukan liga sosial, Southern FC, selain turut menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM15,000 ribu kepada pasukan tersebut.

Perkara ini disahkan melalui kenyataan FMLLP di laman rasmi Facebook mereka hari ini. Selepas berjaya menewaskan Selangor United pada perlawana pusingan pertama minggu lepas, Southern FC dijadualkan menjadi tuan rumah untuk perlawanan pusingan kedua.

Namun, selepas mengambil kira kemampuan terhad mereka sebagai sebuah pasukan liga sosial, pihak pengurusan Southern FC membuat permohonan rasmi kepada Melaka United untuk membolehkan hak tuan rumah ditukar tangan. Dan maklum balas yang mereka terima daripada pihak Melaka United akhirnya cukup positif.

“Pasukan Melaka melalui Setiausaha Agung, Encik Noor Azman Bin Haji Rahman telah menyatakan persetujuan untuk menjadi Pasukan Tuan Rumah di Stadium Hang Jebat.

“Selain itu, sebagai tanda sokongan keatas pembangunan bolasepak, Pasukan Melaka telah bersetuju memberi bantuan sebanyak RM 15,000 kepada pasukan Southern FC yang akan bertandang ke sana. Tiket sebanyak 200 keping ‘complimentary’ turut diberikan dan tempat letak kereta khas bagi pemain dan pegawai Southern FC.

“Jika mengikut Peraturan Pertandingan Piala FA Malaysia pada Pusingan Ke-2 dan Ke-3 pasukan Tuan Rumah wajib memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada pasukan Pelawat bagi tujuan logistik, penginapan, makan dan minum pasukan,” kata FMLLP melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ini bermakna perlawanan pusingan kedua di antara kedua-dua pasukan akan berlangsung di Stadium Hang Jebat pada 4 Februari akan datang.