Luar Negara

Berdepan dengan Man Utd malam ini, Sevilla mahu ‘bunuh’ Alexis Sanchez

Bagaimana cara untuk hentikan bintang Manchester United, Alexis Sanchez? Bunuh dia.

Itulah yang dikatakan oleh ketua jurulatih Sevilla, Vincenzo Montella menjelang pertembungan dua bekas juara Piala Europa itu dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi nanti.

Tapi usah khuatir penyokong Red Devils, Montella sekadar bergurau. Bekas pengurus AC Milan itu menjawab soalan wartawan ketika ditanya mengenai Alexis Sanchez, terutamanya ketika mereka berdua beraksi di Udinese sebelum ini berkata: “Dia telah menjadi semakin baik dalam kerjayanya dan saya rasa dia akan menjadi pemain yang kami perlu beri perhatian. Mungkin kami boleh ‘membunuh’ dia atau jatuhkan dia.”

Montella juga berharap agar Paul Pogba tidak akan beraksi selepas dia diketepikan kerana sakit dalam perlawanan Piala FA menentang Huddersfield Town minggu lalu.

“Dia seorang pemain hebat, pemain yang sempurna.

“Di Itali dia sangat berjaya dan merupakan pemain yang sangat penting. Dia mempunyai kualiti yang hebat dari segi taktikal dan boleh menjaringkan gol dengan menggunakan kepalanya. Saya harap dia tidak akan bermain esok.”