Malaysia Liga Super Malaysia

Dua kesilapan Saiful Amar hadiahkan kemenangan 3-0 buat Melaka United

Melaka United berjaya meraih tiga mata penting untuk menduduki tempat ke-4 di tangga Liga Super selepas menewaskan pasukan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Kesilapan daripada penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar, menghadiahkan dua gol untuk Yahor Zubovich sebelum R. Gopinathan menambah gol ketiga pada separuh masa kedua untuk memberi kemenangan yang cukup bergaya untuk Melaka United.

Eduardo Almeida membuat keputusan untuk meletakkan Fakri Saarani di bangku simpanan untuk perlawanan ini, dengan Gopinathan menggantikannya di kesebelasan pertama. Manakala, Tiago Gomes, Shahdan Sulaiman dan Jeon Woo-Young terus mengemudi jentera tengah mereka.

Bagi Negeri Sembilan pula, Mony Udom Prak, Fakrul Aiman dan Khairul Izuan terus menjadi pertaruhan mereka di bahagian serangan. Flavio Beck pula ditugaskan sebagai tonggak utama mereka di bahagian tengah.

MELAKA MENGGANAS DI STADIUM HANG JEBAT

Walau bagaimanapun, Melaka United tampil dengan momentum yang tinggi dari awal perlawanan dan hampir membuka tirai jaringan melalui dua percubaan Yahor Zubovich dalam 15 minit pertama.

Tetapi gol pertama mereka akhirnya tiba pada minit ke-31, apabila Saiful Amar gagal menyelamatkan percubaan Gopinathan dengan kemas, sekaligus memberi peluang kepada Zubovich untuk meledak dari jarak dekat.

Lapan minit kemudian, Zubovich berjaya menjaringkan gol keduanya, selepas Saiful Amar gagal menyelamatkan sepakan penjuru Tiago Gomes.

Meskipun Negeri membuat pertukaran penjaga gol untuk babak kedua, Melaka terus mengawal tempo perlawanan dan akhirnya berjaya menambah gol ketiga melalui R. Gopinathan, selepas serangan counter-attack yang berbisa. Gol tersebut membunuh segala harapan Negeri untuk bangkit semula dan Melaka menamatkan perlawanan ini dengan tiga mata berharga.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN

Walaupun kedua-dua golnya dihadiahkan oleh kesilapan Saiful Amar, Yahor Zubovich tetap menjadi pilihan kami untuk pemain terbaik perlawanan ini. Dia bukan sahaja bekerja keras di atas padang, malah Zubovich turut memainkan peranan ‘holding target man’ dengan cukup efektif, memberi peluang kepada Gopinathan dan Surendran untuk mencari ruang di bahagian sayap. Selain dua gol, Zubovich turut menyumbang satu ‘assist’ untuk gol Gopinathan malam ini.

LANGKAH SETERUSNYA

Kemenangan ini cukup penting untuk keyakinan pemain Melaka United, kerana mereka akan melawat Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos untuk menentang Johor Darul Ta’azim pada 24 Februari akan datang. Manakala Negeri Sembilan pula akan menerima kunjungan pasukan Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada 23 Februari.