Luar Negara

Scotland jadi pilihan pemain muda MU, Scott McTominay

Nampaknya England tertewas.

Selepas lama mengambil masa untuk menentukan masa depannya, pemain muda Manchester United, Scott McTominay telah memilih untuk mewakili Scotland dan bukan England.

Pemain berusia 21 tahun itu telah bertemu dengan pengurus Scotland, Alex Mcleish di pusat latih Manchester United di Carrington pada hari Khamis lalu. Dia dijadualkan bertemu pengurus England, Gareth Southgate keesokan harinya, tetapi sumber memberitahu pertemuan tersebut tidak berlaku.

Scott yang mencuri tumpuan dengan aksi bertenaga untuk United ketika menentang Chelsea dan Sevilla lahir di England tetapi layak bermain untuk Scotland kerana mempunyai pertalian dengan negara tersebut menerusi bapanya.

Melihat kepada keadaan semasa, mungkin Scott membuat pilihan yang betul. Dengan lambakan pemain tengah England, mungkin sukar untuknya berada dalam kesebelasan utama. Gareth Southgate setakat ini dilihat gemar menggunakan pemain seperti Eric Dier, Delle Alli dan Jack Wilshere untuk beraksi di bahagian tengah.

Melihat kepada rekod pemain tengah Scotland di United, mungkin Scott boleh mengambil inspirasi daripada seorang bekas pemain United, Darren Fletcher. Kini berakis di Stoke City, Fletcher merupakan ketua pasukan Scotland dan membuat penampilan pertamanya untuk Scotland selepas menembus masuk ke skuad utama Manchester United. Fletcher juga merupakan salah seorang pemain yang naik dari akademi Manchester United.

Kalau berdasarkan kedudukan FIFA, mungkin ada yang merasakan Scott membuat pilihan yang salah. Tetapi siapa tahu, mungkin Scott mampu menjadi inspirasi buat Scotland untuk mara ke Piala Dunia 2022 di Qatar nanti. Buat masa ini, Scott perlu kekal konsisten dan buktikan bahawa dia mampu menjadi tonggak utama untuk Manchester United.