Luar Negara

Tragedi menimpa dunia bola sepak, Kapten pasukan Fiorentina ditemui meninggal dunia

Fiorentina telah mengesahkan bahawa kapten pasukan mereka, Davide Astori telah meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di bilik hotelnya, hanya beberapa jam sebelum mereka dijadualkan bertembung dengan Udinese.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Fiorentina berkata: “Kami dengan duka cita ingin mengumumkan bahawa kapten pasukan, Davide Astori telah meninggal dunia. Buat masa sekarang, kami memohon kerjasama pihak media untuk menghormati privasi keluarganya.”

Perlawanan di antara Udinese dan Fiorentina telah dibatalkan dan Serie A mungkin akan turut membatalkan kesemua baki perlawanan Serie A yang dijadualkan berlangsung hari ini dan esok.

Astori memulakan kariernya bersama AC Milan, sebelum menghabiskan enam musim di Cagliari, dan membuat 174 penampilan untuk kelab tersebut. Dia kemudiannya berhijrah ke AS Roma pada tahun 2014, sebelum menyertai Fiorentina hanya satu tahun kemudian.

Musim ini, Astori berjaya membuat 27 penampilan dan sempat menjaringkan satu gol, selepas dilantik menjadi kapten pasukan pada musim panas lepas.