Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti akan mengadakan perlawanan menentang pasukan ranking ke-94 dunia, New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin, 14 Oktober 2024.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu New Zealand ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006 dan tewas 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006.
Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar FIFA, 7 hingga 15 Oktober 2024.
Skuad Harimau Malaya yang ketika ini berada di ranking ke-134 dunia terdahulu berpeluang untuk memperbaiki mata ranking FIFA apabila bakal berdepan pasukan ranking ke-147 dunia, Filipina pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu, 4 September 2024 yang berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 2 hingga 10 September 2024.
Jika menang ke atas Filipina, skuad yang pertama kali dibimbing Pau Marti selepas pemergian Kim Pan-gon yang meletak jawatan pada 16 Julai 2024 itu akan ke Final Pestabola Merdeka 2024 pada 8 September menentang Tajikistan (ranking 103) atau Lubnan (ranking 116).
Jika tewas kepada Filipina, mereka akan beraksi pada Penentuan Tempat Ke-3, hari yang sama.
Kemas kini Ranking FIFA seterusnya ialah pada 19 September 2024.