Liga Super Malaysia Berita

RTM siar 61 perlawanan Liga Malaysia musim 2024-2025

RTM akan menyiarkan 61 perlawanan Liga Malaysia sepanjang musim 2024-2025.

Stesen televisyen milik kerajaan itu akan membawakan secara percuma liputan secara langsung keseluruhan 61 perlawanan melibatkan 52 perlawanan Liga Super, 8 perlawanan Piala FA dan perlawanan akhir Piala Malaysia menerusi saluran Okey dan Sukan RTM.

Selain itu, peminat bola sepak tanah air juga boleh menonton aksi bolasepak Malaysia di mana-mana sahaja melalui RTMKlik.

RTM turut membariskan pengulas-pengulas sukan yang berwibawa dan panel undangan terpilih yang sangat berpengalaman serta pakar dalam bidang sukan bola sepak tanah air.

Di samping itu, pendekatan teknologi terkini dan kecerdasan buatan seperti Augmented Reality (AR) bakal digunakan sebagai pendekatan persembahan terbaharu khas sajian istimewa kepada penonton setia RTM.

Sepanjang musim 2024-2025, teknologi Video Assistant Referee (VAR) akan diguna pakai bagi kesemua perlawanan melibatkan 13 pasukan yang akan bersaing musim ini.