Liga Super Malaysia Berita

Terengganu bangkit dari kekalahan final Piala FA, catat 5 kemenangan berturut-turut Liga Super

Terengganu mencatatkan 5 kemenangan berturut-turut apabila menewaskan Pulau Pinang 3-0 dalam saingan Liga Super di Kuala Terengganu.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu bangkit dari kekalahan final Piala FA setelah tewas 3-1 kepada JDT minggu lalu.

Hujan lebat tidak menghalang Terengganu menguasai separuh masa pertama apabila mendahului menerusi Faisal Halim pada minit ke-37 sebelum Kipre Tchetche menambah gol kedua di hujung separuh masa pertama.

Terengganu terus menguasai permainan di separuh masa kedua, dengan Kipre melengkapkan kemenangan apabila menjaringkan gol di hujung separuh masa kedua, sekali gus menyaksikan keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Terengganu di tangga ke-4 liga apabila meraih 27 mata selepas 18 perlawanan.

Pulau Pinang yang mencatatkan kekalahan ke-8 berturut-turut kekal di tangga tercorot liga dengan 7 mata selepas 18 perlawanan.

Di Alor Setar, Kedah mencatatkan kemenangan ke-5 berturut-turut apabila menewaskan Selangor 3-1.

Ronald Ngah menjaringkan gol pendahuluan Kedah pada minit ke-23 hasil hantaran Mahmoud Al-Mardi, menjadikan ia gol ke-11 liga buat Ronald.

Kedah menambah gol kedua menerusi tandukan Marc Vales pada minit ke-30.

Bagaimanapun, Selangor merapatkan jurang tiga minit kemudian apabila Caion menjaringkan gol ke-13 liga hasil hantaran Hein Htet Aung.

Selangor cuba mencari gol penyamaan sepanjang separuh masa kedua, namun Kedah berjaya mematahkan segala serangan lawan hingga minit akhir perlawanan.

Fayadh Zulkifli melengkapkan kemenangan Kedah apabila menyudahkan hantaran Mahmoud Al-Mardi, dengan keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat.

Kedah kini di tangga ke-5 liga apabila mengumpul 27 mata selepas 18 perlawanan.

Selangor kekal di tangga ke-8 liga dengan 20 mata selepas 18 perlawanan.

Esok, Melaka United akan bertemu KL City manakala PJ City berdepan JDT sebelum Liga Super bersambung pada 1 Oktober bagi memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan.