Malaysia Berita

Masih belum ada pengganti Cheng Hoe, skuad B23 negara isi kekosongan jadual skuad senior dalam kalendar FIFA

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan bahawa skuad B-23 negara akan mengisi kekosongan jadual pasukan senior yang sepatutnya beraksi mengikut kalendar FIFA pada 24 Januari hingga 1 Februari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat memandangkan ketua jurulatih baharu masih belum dilantik setelah Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan minggu lalu, malah semua pasukan Liga Malaysia sedang giat melakukan persiapan pra-musim untuk musim 2022.

“Jadi, pasukan B-23 yang membuat persiapan bagi menghadapi Piala AFF 2022 B-23 di Kemboja, Februari depan akan gunakan kalendar FIFA kali ini,” katanya kepada Bernama.

“Kita telah tulis surat ke beberapa negara untuk dapatkan perlawanan persahabatan antarabangsa bersama pasukan B-23 mereka ataupun kelab negara terlibat.”

Ketika ditanya sama ada pasukan Liga Malaysia akan melepaskan pemain masing-masing jika dipanggil ke skuad B-23, Saifuddin berkata, FAM akan berbincang dengan pasukan liga supaya mereka dapat melepaskan pemain secara lebih teratur bagi membuat persiapan mengharungi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei ini diikuti Piala Asia 2022 yang akan berlangsung di Uzbekistan, Jun ini.

“Kita harap semua pihak dapat capai situasi menang-menang, tak semestinya kita berkeras semua pasukan lepaskan pemain mereka, mungkin masa ini guna kumpulan pemain tertentu manakala masa lain kumpulan lain pula.”