Liga Super Malaysia Berita

Bung Moktar menang tanpa bertanding, dilantik presiden baharu Sabah FA secara rasmi

Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) secara rasmi selepas menang tanpa bertanding pada kongres luar biasa persatuan itu, selepas memangku jawatan itu sejak 14 Dissember tahun lalu.

Ketika berucap pada kongres itu, Bung Moktar mengucapkan terima kasih atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan semua ahli Majlis Tertinggi dan ahli gabungan SAFA yang memberikan beliau peluang untuk memimpin persatuan itu.

“Dengan kepercayaan yang diberi, saya akan berusaha bagi memastikan SAFA terus maju mencapai sasaran bukan sahaja di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Bernama.

Ini bermakna, Bung Moktar secara rasminya menggantikan Datuk Peter Anthony yang meletakkan jawatannya pada September tahun lepas, selepas partinya Warisan tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bung Moktar bagaimanapun mengakui SAFA bakal berdepan pelbagai cabaran dan kesulitan berikutan penularan pandemik COVID-19 pada ketika ini.

“Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

“Mudah-mudahan selepas pandemik COVID-19 ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa dan seterusnya melakukan yang terbaik untuk bola sepak negeri Sabah.”

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Dilantik), Datuk Suhaimi Nasir dan Presiden Persatuan Rungus Sabah (SAMORA) Datuk Dr Jelani Hamdan turut menang tanpa bertanding, masing-masing memegang jawatan Naib Presiden SAFA.

Berikut senarai terkini Ahli Jawatankuasa SAFA penggal 2019-2022:

Presiden:

Datuk Seri Bung Moktar Radin

Timbalan Presiden:

Datuk Juil Nuatim
Datuk Abdul Rahman Mohd Zakaria

Naib Presiden :

Datuk James Wong
Datuk Dr Jelani Hamdan
Henry Saimpon
Datuk Suhaimi Nasir

Setiausaha Agung :

Benedict Asmat

Penolong Setiausaha Agung:

Azman Mastar

Bendahari Kehormat:

Jasnih Daya

Setiausaha Eksekutif:

David Wisom

Ahli Majlis Tertinggi:

Shamsuddin Mohd Shah
Othman Abdullah
Jimson Majemal
Jackson Taguah
Mustapha Tuah
Marasun Hassim
Salleh Abd Ghapur
Fadli Juanas