Tan Cheng Hoe mengakui Guilherme De Paula berdepan dengan tekanan tinggi namun berharap beliau dapat bangkit dalam perlawanan akan datang.
Ini selepas beliau mempamerkan aksi hambar ketika bertemu UAE sehingga gagal menjaringkan gol mahupun membantu pasukannya mencipta peluang jaringan.
“Bila lihat selepas perlawanan, dia nampak sedih dan tertekan,” kata Cheng Hoe kepada Bernama.
“Tetapi De Paula sudah lama main bola sepak dia tahu cara nak atasi perkara itu.
“Dia perlu cari balik keyakinan diri dan bangkit semula untuk perlawanan akan datang.
“Bukan De Paula dan Liridon Krasniqi sahaja yang kita salahkan, tetapi keseluruhan pasukan…kita tidak boleh menyalahkan seseorang pemain 100 peratus.”
Bagaimanapun, Cheng Hoe enggan mendedahkan sama ada beliau akan membuat rombakan besar-besaran untuk perlawanan bertemu Vietnam, Jumaat ini.
“Selepas kekalahan kepada UAE memang ramai berpendapat kita perlukan rombakan secara besar-besaran tetapi kita masih ada empat hingga lima hari untuk membuat persiapan. Kita sedang kaji faktor yang menyebabkan kekalahan pasukan, kita masih cari ramuan terbaik untuk hadapi Vietnam.
Setakat ini, hanya Junior Eldstal tidak dapat beraksi lagi dengan skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan buku lali yang serius ketika beraksi menentang UAE.