Piala Dunia 2018

Netizen beri reaksi negatif terhadap lagu rasmi Piala Dunia

Piala Dunia bukan sahaja dinanti kerana pasukan-pasukan bertanding. Tetapi setiap empat tahun, peminat bolasepak teruja untuk mendengar lagu rasmi Piala Dunia.

Lagu-lagu seperti Cup Of Life oleh Ricky Martin, Waka-Waka (This Time For Africa) daripada Shakira atau Wave Your Flag nyanyian K’naan antara yang menjadi pilihan penggemar bolasepak di dunia.

Bila bercakap mengenai lagu rasmi Piala Dunia, penggemar bolasepak boleh tiba-tiba bertukar menjadi juri Anugerah Juara Lagu. Mereka akan menilai sama ada lagu tersebut bagus atau tidak.

Semalam lagu rasmi Piala Dunia telah dilancarkan. Lagu bertajuk Live It Up itu dicipta oleh Diplo dan dinyanyikan oleh Nicky Jam, Era Istrefi dan ‘Fresh Prince of Bel Air’ Will Smith.

Malangnya lagu berkenaan nampaknya tidak begitu digemari penggemar muzik dan peminat bolasepak.

Rata-rata memberikan komen negatif di media sosial ketika lagu ini diperkenal. Ada yang menyatakan lagu ini kekurangan elemen yang diperlukan sebagai lagu Piala Dunia. Tidak kurang juga membandingkan lagu ini dengan lagu Waka-Waka.

Suka atau tidak, lagu Piala Dunia sebenarnya adalah satu cara untuk membangkitkan keterujaan untuk menanti kejohanan Piala Dunia itu sendiri. Ia wajar mempunyai identiti Piala Dunia dan menggambarkan kemeriahan Piala Dunia itu. Lagu Waka-Waka (This Time For Africa) daripada Shakira adalah yang terbaik setakat ini kerana ia menggambarkan kemeriahan dan menggunakan elemen Afrika di mana kejohanan tersebut berlangsung.

Jadi FIFA, mungkin anda perlu memanggil Shakira lagi sekali untuk menyanyikan lagu rasmi Piala Dunia. Atau mungkin FIFA boleh panggil band Malaysia, OAG yang menyanyikan lagu rasmi Piala Dunia Belia 1997 dahulu. Siapa ada nombor telefon Radhi OAG?