Berita Asia

Iniesta beri sebab kenapa pilih sertai Vissel Kobe

Andres Iniesta boleh memilih untuk menyertai mana-mana pasukan selepas memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya bersama kelab kesayangannya, Barcelona.

Dia boleh memilih untuk menguji dirinya di Liga Perdana Inggeris, mengikut jejak langkah David Villa beraksi di Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS), atau menerima gaji yang tinggi di China. Tetapi dia memilih untuk beraksi di Jepun bersama Vissel Kobe. Kenapa?

Menurut Iniesta sendiri, dia mempunyai sebab tersendiri untuk memilih beraksi dengan Vissel Kobe.

“Banyak tawaran menarik dari pasukan-pasukan yang menunjukkan minat terhadap saya. Tetapi saya pilih Vissel Kobe kerana kelab ini mempunyai projek yang menarik.

“Saya sebagai seorang pemain bolasepak juga percaya dan yakin kepada kelab ini. Itu alasan saya memilih untuk menyertai Vissel Kobe.”

Sememangnya perpindahan Iniesta ke Vissel Kobe agak mengejutkan kerana jarang kita melihat bintang ternama dunia beraksi di Jepun kecuali Lukas Podolski.

Tetapi ada juga sumber menyatakan penaja terbesar Barcelona, syarikat E-Dagang, Rakuten turut memainkan peranan penting dalam membawa bintang Barcelona itu ke Vissel Kobe.

Walau apa pun sebabnya, kini rakyat Jepun akan dapat menikmati keindahan permainan Andres Iniesta. Bila agaknya liga Malaysia pula akan menjadi tumpuan pemain-pemain bintang dunia selepas kali terakhir adalah ketika Pablo Aimar dan Daniel Guiza menyertai JDT.